PUTRAJAYA 24 April – Kementerian Pengangkutan sedia bekerjasama dengan agensi serta kementerian lain bagi menyelesaikan isu pelabuhan utama negara yang menjadi lokasi pelupusan sampah dari negara luar secara haram.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebagai badan kawal selia pelabuhan di negara ini, pihaknya tidak mahu pelabuhan di negara ini dijadikan tempat pelupusan sampah.
“Dalam mesyurat Jemaah Menteri tadi,
Menteri Tenaga, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Yeo Bee Yin) ada membangkitkan perkara itu dan beliau akan memanggil satu mesyuarat bersama semua agensi terbabit untuk mengkaji semula pelbagai prosedur.
“Justeru Kementerian Pengangkutan akan memberi sepenuh kerjasama kerana perkara ini membabitkan prosedur dan peraturan pelbagai agensi,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kegiatan penyeludupan masuk sisa plastik tercemar ke negara ini melalui pelabuhan utama walaupun kerajaan telah mengharamkan kemasukan sisa buangan itu sejak tahun lalu.
Kegiatan itu terbongkar susulan penemuan 24 kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang semalam yang mengandungi sisa plastik tidak boleh dikitar semula.
Mengulas lanjut Anthony berkata, terdapat keperluan untuk mengkaji semula prosedur kemasukan kargo ke pelabuhan bagi mengelak perkara sama berulang.
“Kita tidak boleh halang kapal untuk masuk ke pelabuhan kerana bukan semua kontena yang dibawa itu salah dan kita tidak boleh lakukan perkara (halang) itu kerana Malaysia adalah negara perdagangan.
“Kita tidak boleh bagi mesej yang salah untuk industri perkapalan, namun apa yang boleh dilakukan adalah kita kaji semula prosedur bagi memastikan kargo yang dibawa masuk ke negara ini adalah mematuhi undang-undang dan dibenarkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











