KUALA LUMPUR- Diam tak diam, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah pun menjengah ke usia 73 pada tahun ini dan tentunya ia juga menyaksikan lembaran demi lembaran baharu telah diperkasakan dengan jitu.
Semua itu tentunya dilakukan demi memberi kepuasan buat penonton yang sentiasa mendambakan kemas kini dan hidangan bahan tontonan yang terbaik di kaca televisyen.
Sepanjang usia 73 tahun, RTM di bawah kendalian Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia KKMM) dilihat telah melalui evolusi perubahan dalam pelbagai era.
Paling menyerlah, tentunya dari aspek muzik dan era dunia penyiaran sebagai stesen radio dan televisyen tertua dalam negara.
Menurut Penolong Pengarah Unit Hiburan Televisyen RTM, Ellia Norni Elias, tahun ini begitu signifikan dengan tema evolusi kerana pihak RTM sedang menjalankan usaha transformasi daripada era penyiaran berbentuk analog kepada era penyiaran digital.
“Bermula pada 1 April lalu, RTM telah melancarkan siaran transmisi digital sepenuhnya dan juga pelancaran pengenalan rangkaian saluran televisyen baharu.

“Ini melibatkan saluran 123, BES, saluran 111, RTM HD Sports dan saluran 110. Selain itu saluran TV Okey yang boleh ditonton melalui set box MyFreeview juga telah dilancarkan pada hari yang sama,”katanya.
Jelas Ellia, proses peralihan siaran daripada analog ke digital telah pun dijalankan sejak tahun 2004 lagi.
“Jadi anggaran untuk siaran televisyen RTM mampu beroperasi sepenuhnya dalam siaran digital secara High Definition (HD) dan Standard Definition (SD) sudah tidak lama sahaja lagi.
“Segala perubahan dan naik taraf ini dilakukan demi memastikan bahawa RTM tidak ketinggalan dengan mana-mana stesen televisyen swasta yang lain.
“Perlaksanaan ini juga adalah seiring dengan pelan transformasi dari segi perkhidmatan siaran dan program,” katanya.
Dalam pada itu, seiring dengan sambutan ke 73 tahun yang disambut pada 1 April lalu, RTM juga telah menganjurkan Konsert Evolusi 73, di Panggung Anniversari, Taman Botani, Kuala Lumpur.
Konsert berkenaan turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii.
Sejajar dengan tema, setiap persembahan juga digubah semula dengan penambahan elemen baharu.
“Konsert yang mendapat pimpinan penuh tenaga daripada pengarah muzik, Luqman Aziz dan Orkestra RTM itu juga adalah sebagai sebuah penghargaan kepada penonton yang selama ini menyokong stesen kami.
“Malah, pemilihan barisan artis yang ditampilkan juga bukan calang-calang kerana mereka mewakili setiap zaman yang pernah ditempuhi RTM,” katanya.
Antara artis yang terlibat termasuklah Datuk David Arumugam, Datuk M Nasir dan Dayang Nurfaizah yang digabungkan dengan artis baru seperti kumpulan Hujan, Akim & The Majistret, Hael Husaini, Haqiem Rusli, Sarah Suhairi, Ben Ladin dan Paladin.
Dalam pada itu, menurut Ellia lagi, pihaknya turut merancang untuk menganjurkan beberapa lagi siri konsert seperti ini dengan mengambil lokasi yang berbeza-beza dengan iringan orkestra. – UTUSAN ONLINE










