PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke menegaskan beliau tidak campur tangan dalam sebarang keputusan berhubung cadangannya untuk membina sebuah stesen bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Nilai, Negeri Sembilan.
Jelasnya, beliau memberi cadangan tersebut dalam Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 semalam atas kapasiti Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bukan sebagai seorang menteri.
“Dalam ucapan di sidang DUN, saya memberitahu akan cuba berbincang namun, keputusan terakhir terletak kepada pihak Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) yang mengendalikan projek itu.
“Mengikut perancangan, kita bercadang untuk memaksimakan pertumbuhan ekonomi kerana Nilai mempunyai sebuah stesen komuter. Ia merupakan salah satu faktor yang kita lihat untuk mengintegrasikan dengan ECRL melalui landasan kereta api yang sedia ada,” katanya pada akhbar di sini hari ini.
Akhbar tempatan semalam melaporkan, Siew Fook yang juga merupakan ADUN Chennah akan mengesyorkan sebuah stesen bagi projek ECRL dibina di kawasan itu yang mampu menyuntik sokongan kepada pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) yang dirancang di kawasan Nilai, Seremban sehingga Port Dickson.
Projek itu akan memanfaatkan bukan sahaja kepada negeri-negeri Pantai Timur tetapi juga kepada Negeri Sembilan.
Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, perubahan jajaran projek ECRL yang akan turut melibatkan Jelebu, bakal membawa banyak manfaat kepada pembangunan ekonomi di Nilai.
Mengulas lanjut, menurut Siew Fook, laluan ECRL ke arah selatan kini sudah hampir dimuktamadkan oleh pihak China Communications Construction Sdn. Bhd. (CCC) dan MRL.
Ujarnya, beliau mahu melihat langkah untuk memaksimakan laluan ke selatan bagi pertumbuhan ekonomi di sepanjang laluan berkenaan.
“MVV menjadi sebuah projek pembangunan penting bukan sahaja untuk Negeri Sembilan malah seluruh negara kerana ia merupakan konsep baharu kepada negeri ini.
“Jadi, sekiranya kita mahu membangunkan MVV maka, perlu ada sistem dan jaringan pengangkutan yang baik,” katanya. – K! ONLINE










