Dana SRC: RM50 juta dimasukkan dalam akaun Ihsan Perdana Sdn. Bhd. - Utusan Malaysia

Dana SRC: RM50 juta dimasukkan dalam akaun Ihsan Perdana Sdn. Bhd.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Saksi ke-20 yang juga pegawai di Affin Bank Berhad mengesahkan bahawa pihaknya telah mengkreditkan (memasukkan) wang sebanyak RM50 juta dari akaun milik syarikat Gandingan Mentari Sdn. Bhd. ke dalam akaun bank milik Ihsan Perdana Sdn. Bhd.  pada tahun 2014 dan 2015.

Rosaiah Mohamed Rosli, 53, yang merupakan pegawai pemprosesan di bank tersebut berkata, pada peringkat pertama jumlah wang sebanyak RM40 juta dikreditkan dari akaun AmIslamic Bank milik Gandingan Mentari ke akaun Affin Bank milik Ihsan Perdana melalui Single Credit Confirmation Advice pada 24 Disember 2014. 

Single Credit Confirmation Advice  dijana oleh Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS). 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semakan telah dibuat, oleh kumpulan dua (group 2) iaitu Abdullah Hadi Hamidon dan diluluskan oleh Mohd. Zulhaini Zuall Cobley. Proses pengesahan, semakan dan kelulusan untuk mengkreditkan jumlah wang ini dibuat pada hari sama,” katanya yang bekerja di bank itu sejak tahun 2001. 

Rosaiah berkata demikian selepas membaca kenyataan saksi pada hari kelapan perbicaraan kes tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. RM42 juta di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. 

Kata saksi itu, pada 5 dan 6 Februari 2015 pihak Affin telah melakukan perkara sama dengan mengkreditkan jumlah masing-masing RM5 juta melibatkan akaun dan syarikat yang sama. 

Gandingan Mentari merupakan syarikat subsidiari dibawah SRC International Sdn. Bhd. manakala Ihsan Perdana merupakan syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat bagi SRC International. 

Perbicaraan bersambung lagi petang ini. 

Pasukan pendakwaan diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas, Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk V. Sithambaran, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin, Datuk Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Manoj Kurup, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan. 

Pasukan pembelaan pula diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh Muhammad Farhan Shafee, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza. 

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini