VIENNA, Austria – Pasukan KTM Red Bull sedang berusaha keras untuk menyediakan sebuah jentera terbaik buat pelumba utamanya, Johann Zarco menjelang perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Perancis minggu depan.
Sepanjang tiga saingan musim ini, pelumba kelahiran Perancis tersebut dilihat berdepan masalah ketika menunggang jentera KTM apabila hanya mampu merekodkan kedudukan ke-13 terbaik pada perlumbaan GP Amerika Syarikat.
Justeru, Pengarah Permotoran KTM, Pit Beirer mengarahkan pasukannya melakukan peningkatan besar terhadap jentera Zarco dalam usaha memastikan segala masalah yang dihadapi oleh pelumba utama itu mampu diatasi sebelum perlumbaan GP Perancis bulan depan.
“Kami tidak mempunyai peluang untuk melakukan ujian beberapa minggu lalu dan berada dalam keadaan tertekan setiap kali perlumbaan bermula. Kini, kami mempunyai ruang untuk menambah baik jentera yang sedia ada selama dua minggu.
“Kami membawa masuk komponen baharu buat Zarco dan akan melakukan ujian di Jerez. Kami berharap mampu menemui pelarasan yang cukup baik sebelum perlumbaan di Perancis nanti yang akan berlangsung pada Mei,” kata Beirer.
Sementara itu, bagi Zarco, meskipun kecewa dengan prestasinya ketika ini, dia bagaimanapun mengakui akan berusaha memberikan aksi terbaik buat pasukannya dalam memburu kejayaan pada musim ini.
“Pasukan saya tahu apa yang saya perlukan ketika ini dan mereka beritahu saya supaya bersabar kerana mereka masih belum menemui punca masalah utama yang saya hadapi. Saya cuba mencari kaedah terbaik untuk memahami karakter KTM, tetapi saya tidak mampu untuk mengubahnya.
“Bagaimanapun, saya tetap bersabar kerana dalam waktu terdekat ini pasukan kami akan membawa masuk komponen baharu dan saya harap semuanya akan dapat diselesaikan,” ujarnya. – Agensi











