ILMIAH. Kira-kira 200 penuntut Sarjana Muda Pengurusan Hartanah, Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor terlibat dalam satu program ilmiah profesional yang diadakan di universiti itu baru-baru ini.
Program itu dirasmikan Dekan Fakulti, Prof. Dr. Jamalunlaili Abdullah yang turut menyokong aktiviti akademik dalam mencapai kualiti graduan yang selari dengan kehendak industri.
Pensyarah Kanan FSPU, Dr. Sr. Mona Isa selaku penyelaras program berkata, bicara ilmiah itu merupakan satu platform bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang profesionalisme bidang hartanah.
“Mereka diberi pendedahan sebagai persiapan untuk memulakan kerjaya dalam bidang ini secara profesional.
“Mereka turut berkongsi pandangan dengan tokoh jemputan bagi memahami realiti dan isu semasa berkaitan bidang itu,” katanya.











