Dr. Ahmad Samsuri rasmi Hentian Bas Marang - Utusan Malaysia

Dr. Ahmad Samsuri rasmi Hentian Bas Marang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 23 April – Penantian penduduk daerah ini selama enam tahun untuk memiliki sebuah hentian bas yang selesa berakhir apabila terminal pengangkutan awam itu dirasmikan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di sini malam ini.

Hentian bas yang mula dibangunkan di atas tapak seluas 0.607 hektar dengan kos RM2 juta pada 2017 itu boleh menampung sehingga 400 orang pada satu-satu masa.

Ahmad Samsuri berkata, kemudahan baharu yang lebih menarik itu sekali gus memberikan kelegaan kepada orang ramai kerana tidak perlu ke Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di pusat bandaraya di samping mengurangkan kesesakan di sana.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sudah ada beberapa syarikat bas yang beroperasi dan memiliki kaunter tiket di sini antaranya ialah Sani Ekspres, Transnasional, SP Bumi dan Jasa Pelangi Ekspres.

“Marang merupakan pintu masuk untuk pelancong ke Pulau Kapas, jadi dengan adanya hentian ini diharap dapat merancakkan lagi industri pelancongan dan memberikan keselesaan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hentian Bas Marang itu di sini.

HENTIAN Bas Marang. – UTUSAN ONLINE/AZLAN BAHRUM

Yang hadir sama isterinya, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Hentian Bas Marang tersebut dilengkapi kemudahan terminal, parkir, enam kiosk, tiga unit kedai makan, tiga unit kedai pelbagai dan tandas. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini