Old Trafford bukan lagi tempat digeruni - Guardiola - Utusan Malaysia

Old Trafford bukan lagi tempat digeruni – Guardiola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER 23 April – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata, Old Trafford tidak lagi menjadi laman yang digeruni lawan menjelang pertembungan derby di kubu Manchester United itu, Khamis ini.

Kemenangan untuk City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris itu, akan memastikan juara bertahan tersebut berada di landasan tepat untuk muncul kelab pertama dalam sejarah bola sepak England merangkul kesemua tiga gelaran domestik dalam satu musim.

City memiliki reputasi mengagumkan selepas melakar lima kemenangan dan sekali seri dalam tujuh perlawanan terakhir liga di Old Trafford, termasuk kemenangan 6-1 dan 3-0.

Memuatkan artikel berkaitan…

Guardiola, bagaimanapun, enggan menggunakan pencapaian itu sebagai alasan terhadap keyakinan skuad bimbingannya, walaupun dia mengakui kunjungan ke Old Trafford tidak lagi menggerunkan seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

“Saya tidak mencipta teori tentang apa yang berlaku pada masa lalu dan juga masa depan. Setiap perlawanan semuanya berbeza. Alasan mengapa ia berlaku kerana kelab ini dalam tempoh sedekad telah banyak berkembang dan kami tidak lagi takut untuk ke sana (Old Trafford).

“Sebelum ini, mungkin lebih sukar. Para pemain Manchester City sejak sedekad lalu telah menjadikan pertemuan ini semakin seimbang,” kata Guardiola kepada pemberita, hari ini.

City berpeluang menjarakkan kedudukan daripada Liverpool kepada kelebihan satu mata untuk merampas kembali persada liga dengan baki tiga perlawanan sekiranya mereka menang ke atas United.

Pertembungan derby itu dibayangi kekalahan memalukan 0-4 United di tangan Everton, Ahad lalu, dan persembahan buruk dipamerkan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu mendapat kritikan pelbagai pihak.

Guardiola, bagaimanapun, tidak menjangkakan persembahan di Goodison Park akan memberi kesan besar kepada aksi derby.

“Sedikit..mungkin, tetapi walaupun mereka mencatat keputusan yang bagus, keyakinan kami tetap tinggi.

“Ini perlawanan derby dan setiap kali kami menentang United, aksi tersebut pasti menjadi istimewa dan para pemain akan memberikan yang terbaik demi penyokong dan juga kelab,” jelas Guardiola ketika ditanya sama ada kekalahan United kepada Everton menjadikan tugasnya lebih sukar. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini