KUALA LUMPUR 23 April – Pharmaniaga Bhd. yakin perjanjian konsesi dengan Kementerian Kesihatan akan diperbaharui berdasarkan prestasi syarikat farmaseutikal itu sehingga kini.
Perjanjian konsesi Pharmaniaga selama 10 tahun buat masa ini akan berakhir pada November 2019.
Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran berkata, kumpulan berjaya memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, antaranya tempoh penghantaran, penjimatan kos dan tahap efisien.
Katanya, Pharmaniaga dalam masa sama menyokong persaingan sihat, justeru, tiada sebarang isu, malah kumpulan itu percaya dengan keupayaan dan kebolehannya.
Perjanjian konsesi
Mengenai isu monopoli, beliau memetik kenyataan Kementerian Kesihatan pada Jun 2018 yang menafikan dakwaan bahawa Pharmaniaga memonopoli bekalan ubat-ubatan ke kemudahan kesihatan awam.
“Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sudah berkata adalah tidak benar untuk menyatakan Pharmaniaga bertindak sebagai satu-satunya monopoli pemegang konsesi tunggal kerana terdapat juga vendor lain yang membekalkan secara langsung ubat-ubatan kepada semua kemudahan kesihatan kementerian.
“Perjanjian konsesi menyumbang kira-kira 53 peratus kepada perolehan Pharmaniaga, meskipun begitu konsesi Kementerian Kesihatan hanya menyumbang sebanyak 33 peratus sahaja,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pharmaniaga di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Pharmaniaga, Norai’ni Mohamed Ali.
Pada 3 April lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kerajaan sedang meneliti empat syarikat utama berkaitan barangan dan perkhidmatan dalam usaha memecah amalan monopoli dan kartel.
Empat syarikat itu termasuk Padiberas Nasional Bhd. (BERNAS), MyEG Services Bhd (MyEG), Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) dan Pharmaniaga.
Jawatankuasa Kabinet Mengenai Monopoli dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dianggotai oleh Saifuddin, Dr. Dzulkefly; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.
Teroka peluang
Susulan itu, Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar turut menjelaskan, Puspakom bukanlah sebuah entiti perniagaan monopoli kerana ia ditubuhkan oleh kerajaan untuk memeriksa keselamatan terutamanya kenderaan komersial.
Dalam pada itu, Pharmaniaga memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM147 juta pada 2019 berbanding RM30 juta yang dibelanjakan pada 2018.
Farshila berkata, capex berkenaan akan digunakan bagi memperluaskan portfolio produk, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta meneroka peluang berdaya maju buat kumpulan dalam tempoh masa akan datang.
“Ini termasuk industri peralatan perubatan dan bidang baharu onkologi dan vaksin bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
“Pihak kumpulan turut berusaha memperluaskan operasi di Indonesia untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan negara tersebut,” katanya.











