Apa nasib kaum India? - Utusan Malaysia

Apa nasib kaum India?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEWASA ini isu penempatan matrikulasi bagi pelajar-pelajar India menjadi bahan perbualan hangat dalam kalangan masyarakat India termasuk ahli parti pemerintah Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang, Barisan Nasional (BN).

Media utama Tamil termasuk media sosial saban hari melapor kononnya permohonan pelajar-pelajar India yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 termasuk meraih 10A telah ditolak.
 Isu jumlah tempat matrikulasi bagi pelajar-pelajar India tahun ini didapati membangkitkan sentimen tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India. Malah dijangka muncul seperti gelombang anti kerajaan yang pernah dicetus Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) pada 2007 jika tidak diurus segera dan bijak.

Bagi masyarakat India, pelajaran merupakan kunci untuk mengubah nasib. Malah, dilihat sebagai kaedah paling berkesan dalam mengeluarkan masyarakat India daripada putaran kemiskinan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menyedari hakikat ini, kerajaan terdahulu BN telah menambah jumlah kerusi dikhaskan untuk pelajar-pelajar India dalam mempercepatkan proses transformasi ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup kaum India.

Pada asalnya, sebanyak 500 tempat di kolej matrikulasi dikhaskan untuk pelajar-pelajar India. Bilangan ini ditingkatkan kepada 2,200 tempat oleh BN.

Namun, apabila Kerajaan PH ambil alih, sebahagian besar permohonan pelajar-pelajar cemerlang dan layak memasuki kursus matrikulasi dilaporkan ia berkurangan. Masyarakat India juga tidak dimaklumkan jumlah kerusi khas untuk pelajar India

Kedudukan ini menimbulkan bukan sahaja perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India malah tanggapan bahawa kerajaan PH dengan sengaja mengetepikan keperluan dan kepentingan kaum India.

Ada pihak mendakwa pendirian Kementerian Pendidikan dalam hal ini jelas bertentangan dengan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) PH, malah ada pihak meminta mentei berkaitan matrikulasi meletak jawatan.

Dalam pada itu, perlu dilihat perkembangan mutakhir dalam landskap politik negara di mana peralihan sebahagian besar sokongan pengundi India daripada PH kepada BN menyebabkan calon-calon BN menang pada PRK secara berturut-turut tahun ini.

Malah, Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau baru-baru ini yang dimenangi BN dengan majoriti besar jelas menunjukkan fenomena peralihan pengundi India secara nyata. Persoalannya, apa penyebab peralihan sokongan pengundi India ini?

Meskipun hampir genap setahun Putrajaya diambil alih PH, janji-janji yang diberikan kepada rakyat melalui manifestonya semasa berhadapan PRU-14, dikesan belum dilunaskan.

Malah indikator-indikator ekonomi menunjukkan kedudukan ekonomi negara amat membimbangkan kerana prestasinya semakin merudum, dasar fiskal atau kewangan yang tidak stabil malah mengelirukan.

Nilai ringgit terus jatuh, harga barang-barang keperluan asas semakin naik, pelaburan asing semakin berkurangan serta peluang pekerjaan semakin berkurangan.

Malah ada agensi kewangan antarabangsa meramalkan ekonomi Malaysia akan menghadapi tekanan mulai bulan September tahun ini.

Jadi, semua janji untuk kononnya mengembalikan kesegaran ekonomi negara hanya menjadi retorik politik semata-mata. Dakwaan kononnya Malaysia akan bankrap di bawah kerajaan BN kini dilihat sebagai propaganda politik daripada fakta.

Walaupun cukai barang dan perkhidmatan (GST), yang kononnya didakwa menyebabkan kenaikan harga barang dan menyusahkan sebahagian besar rakyat berpendapatan rendah telah dihapuskan dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) seperti terdahulu.

Namun harga barang keperluan asas termasuk harga barang makanan masih tidak turun. Peliknya, semakin naik.

Fenomena tersebut menimbulkan bukan sahaja rasa tidak puas hati malah kurang yakin rakyat terhadap kebolehan PH menguruskan Putrajaya termasuk pentadbiran ekonomi negara.

Masyarakat India secara umumnya dan golongan muda khasnya, yang bermati-matian menjatuhkan BN dan mengangkat PH sebagai parti memerintah, kini dilapor kecewa dengan PH.

Dan sekiranya tanggapan itu melekat dalam fikiran sebahagian besar kaum India, maka PH berisiko kehilangan sokongan mereka pada PRU-15.

Cuma sekarang, PH perlu memastikan kaum India tidak merasakan diri mereka tertipu dengan pelbagai janji kosong atau sokongan hebat mereka kepada gabungan parti-parti PH sebagai tidak menguntungkan.

Bak peribahasa Melayu, ‘dibilang genap, dipagar ganjil’ iaitu apa yang nampak pada zahirnya untung, tetapi sebenarnya rugi,’

DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik dan pensyarah komunikasi strategik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini