KAMPALA 23 April – Dua pesawat pertama yang dibeli dalam usaha untuk melancarkan semula Uganda Airlines telah dihantar ke negara ini, hampir dua dekad setelah syarikat penerbangan kebangsaan negara Afrika Timur itu ditamatkan.
Kedua-dua pesawat Bombardier CRJ900, yang boleh membawa sehingga 90 orang, mendarat di Lapangan Terbang Entebbe dekat sini dalam satu majlis yang dihadiri Presiden Yoweri Museveni.
“Kami sangat gembira kerana apa yang kami mulakan berbulan lalu telah membuahkan hasil,” kata Menteri Kerja dan Pengangkutan, Monica Azuba Ntege.
Beliau menambah, dua lagi pesawat yang dibeli dari pengeluar Bombardier akan tiba pada bulan Julai dan September ini.
Sementara itu, gergasi aeroangkasa Eropah, Airbus akan menghantar dua pesawat jarak jauh pada 2020 atau 2021. – AFP











