UMNO tidak akan ambil bahagian PRK Parlimen Sandakan - Utusan Malaysia

UMNO tidak akan ambil bahagian PRK Parlimen Sandakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 April – UMNO tidak akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini, kata timbalan presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

MOHAMAD HASAN

Beliau yang menjalankan tugas-tugas presiden parti berkata, UMNO bagaimanapun menyerahkan kepada parti komponen Barisan Nasional yang lain sekiranya berminat meletakkan calon mereka pada PRK ke lapan, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini memandangkan UMNO memang tak pernah bertanding di kawasan ini dan selama ini ia diwakili parti komponen kita,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi UMNO di sini, hari ini sambil menambah calon BN bagi kerusi berkenaan dijangka diputuskan pada mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi pakatan berkenaan malam ini.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong susulan kematian Anggota Parlimennya Datuk Stephen Wong Tien Fatt dari DAP, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah, pada 28 Mac lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 April sebagai hari penamaan calon PRK Parlimen Sandakan, 7 Mei sebagai hari pengundian awal dan 11 Mei sebagai tarikh mengundi.

Pada PRU-14, Stephen yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, memenangi kerusi Parlimen Sandakan itu dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi mengalahkan calon BN, Datuk Lim Ming Ho yang mendapat 8,996 undi.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 13 hingga 16 November ini dengan tambahan sehari bagi penganjuran Mesyuarat Agung Luar Biasa untuk membincangkan pindaan Perlembagaan Parti termasuk pemberian autonomi kepada UMNO Sabah.

Selain itu parti itu juga akan menyambut ulang tahun ke-73 pada 11 Mei ini, dengan sambutan akan diadakan secara sederhana di Ibu pejabat UMNO di sini.

Selain daripada itu, Mohamad berkata, parti berkenaan yang mempunyai keanggotaan seramai tiga juta, akan memudahkan pendaftaran keanggotaan secara dalam talian, melalui laman web rasmi parti yang telah ditambah baik. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini