SEREMBAN – Seorang tukang masak lelaki warga Thailand maut selepas lehernya dikelar oleh rakan sekerja di sebuah restoran tomyam di Taman Bukit Emas, Rahang dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, leher mangsa dikelar dengan sebilah pisau pemotong sayur selepas mangsa menegur rakan senegaranya itu berhubung urusan kerja di restoran berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd. Rosli Ishak berkata, tukang masak warga Thailand yang maut tersebut berusia 24 tahun, manakala suspek lelaki berusia 19 tahun.
“Sebelum pergaduhan berlaku, suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa menegurnya mengenai perihal tugas di tempat kerja.
“Semasa berada di bahagian belakang dapur, berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa. Suspek mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan mengelar leher mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Rosli berkata, adik mangsa bersama beberapa pelanggan restoran berkenaan yang menyedari kejadian itu bertindak menangkap suspek sebelum menghubungi pihak polis.
Menurut beliau, suspek dan senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut diserahkan oleh orang ramai kepada anggota polis yang tiba di lokasi kejadian.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan yang banyak dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini untuk menerima rawatan.
“Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan HTJ
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini untuk permohonan tahan reman. – K! ONLINE











