KUALA TERENGGANU 21 April – Abdul Mannanku Abdullah dan Nur Farahin Linus masing-masing menerima anugerah Tokoh Saudara Kita 2018 dalam majlis anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Terengganu di sini semalam.
Abdul Mannanku, 59, mendapat anugerah itu berdasarkan sumbangannya kepada Perkim terutama dalam membantu kerja-kerja dakwah sama ada di peringkat cawangan atau negeri Terengganu.
Selain aktif dalam kegiatan amal, beliau juga merupakan ahli jawatankuasa Perkim Cawangan Kuala Nerus selain turut memegang beberapa jawatan di peringkat negeri antaranya sebagai Bendahari Koperasi Perkim Terengganu.
Sementara itu, Nur Farahin Linus, 36, pula diumumkan penerima anugerah Tokoh Saudara Kita 2018 (kategori wanita) dan beliau merupakan saudara baharu yang juga aktif menjalankan kerja-kerja dakwah.
Beliau yang berasal dari Tuaran, Sabah dan memeluk Islam pada Januari 2006 turut menjadi ahli Perkim Wanita cawangan Besut serta aktif dalam pelbagai program anjuran Perkim negeri atau cawangan.
Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah sempena Mesyuarat Agung Perkim Terengganu di Menara Yayasan Islam di sini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Perkim Terengganu, Prof. Dr. Ramle Abdullah.
Dalam majlis itu, Perkim turut menyampaikan penghargaan kepada enam sukarelawan yang sentiasa bersama dan membantu pertubuhan itu dalam menjalankan pelbagai aktiviti.
Turut diraikan, seramai 10 saudara baharu diberi sumbangan barangan keperluan harian bagi membantu meringankan beban mereka menjelang Ramadan tidak lama lagi. – UTUSAN ONLINE











