PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua individu termasuk seorang bekas Pengarah Jabatan Kolej Komuniti kerana bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM165,000 enam tahun lalu.
Menurut sumber, bekas Pengarah Jabatan Kolej Komuniti dan pengarah syarikat swasta yang masing-masing berusia 57 tahun dan 47 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Jelasnya, kedua-dua individu itu ditahan pada pukul 11.15 pagi dan 11.30 pagi sewaktu hadir memberi keterangan.
“Kedua-dua lelaki itu telah bersubahat mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Pengajian, Kolej Komuniti, Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan tiga program Skim Kemahiran dan Kerjaya 1Malaysia (SKK1M) dan satu program kolaborasi strategik yang bernilai lebih RM165,000.
“Bagaimanapun, program itu tidak dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Jelasnya, kedua-dua lelaki itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abd. Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Beliau berkata, kedua-duanya akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28 Akta SPRM 2009. – K! ONLINE











