JOHOR BAHRU 21 April – Percubaan seorang penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Jalan Lurah Kempas di sini untuk terjun dari bangunan pada pukul 1.13 petang tadi tidak jadi selepas berjaya dipujuk anggota bomba.
Dalam kejadian pada bahagian menara Bangunan Puspen tersebut, penghuni lelaki yang berusia 20-an itu berjaya dipujuk sebelum dibawa turun dengan menggunakan tali oleh pihak bomba.
Menurut Pegawai Kanan Bomba II Rafie Sareng dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, 10 anggota bersama-sama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Selepas dipujuk selama lebih satu jam, lelaki berkenaan membatalkan hasratnya untuk membunuh diri dan diturunkan pada pukul 2.19 petang,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











