MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menggesa pemainnya bangkit daripada mimpi ngeri selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Tottenham Hotspur pada saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.
Perkara tersebut diluahkan Guardiola apabila The Citizens bakal berdepan semula dengan skuad kendalian Mauricio Pochettino di Etihad malam ini dalam aksi Liga Perdana England (EPL).
Kekalahan di pentas UCL sekali gus menyebabkan tumpuan City kini lebih terarah kepada saingan domestik untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana England (EPL) apabila mereka kini hanya ketinggalan dua mata di belakang pasukan pendahulu Liverpoool tetapi masih kekurangan satu perlawanan.
Penyandang juara EPL tahun lalu itu masih berbaki lima perlawanan sementara skuad kendalian Jurgen Klopp mahu menamatkan penantian 29 tahun apabila masih mempunyai empat aksi yang perlu dilengkapkan musim ini.
“Kami perlu bangkit dan memberikan respons yang baik menjelang pertemuan dengan Spurs bagi saingan EPL.
“Pasukan telah berjuang habis-habisan dalam sembilan ke 10 bulan sebelum ini di pentas EPL.
“Sekarang kami masih di belakang Liverpool, namun kejuaraan EPL sudah berada dalam tangan City.
“Memang benar ia adalah satu pertembungan yang sukar tetapi kami perlu menyelesaikan tugas yang masih berbaki dengan baik sehingga perlawanan yang terakhir,” kata Guardiola. – Agensi











