KETIKA di bangku sekolah, ‘Muzlina Omar’, 40, telah mula mengikuti aktiviti mendaki gunung atau bukit, tetapi ia tidak dilakukan dengan serius.
Begitu pun, ibu kepada empat orang anak itu kembali aktif empat tahun lalu apabila anak bongsunya berusia dua tahun. Penglibatannya dalam aktiviti tersebut makin serius dan pelbagai lokasi menarik dalam dan luar negara menjadi sasarannya.
Bagi memudahkan melakukan aktiviti tersebut, wanita yang berasal dari Kelantan itu turut menggunakan perkhidmatan pakej pendakian yang dianjurkan syarikat swasta seperti Ohana Adventure Sport (Ohana).
“Ia bermula pada bulan Oktober 2017, ketika itu kali pertama saya memanjat Gunung Kinabalu di Sabah. Suami saya, Syed Mohamad Muhaimin, 43, turut serta dan kami bercadang untuk melanjutkan percutian dengan menjelajah pulau dan melakukan aktiviti bersnorkel.
“Kami telah menempah daripada Ohana iaitu pakej selama empat hari ke Semporna dan sejak itu saya hanya mengikuti pakej yang dianjurkan pihaknya. Ini kerana Ohana, saya kategorikan sebagai harga sangat murah, tetapi layanan bak VVIP (orang kenamaan).
“Paling seronok, Ohana tidak pernah berjimat dari segi penginapan dan makanan. Kebanyakan trip yang dianjurkan pihak lain yang pernah saya sertai, mereka berkira dari segi penginapan dan makanan. Ohana dalam hutan pun makan beriani, stimbot dan kari kepala ikan serta mempunyai kru yang ramai,” kata Muzlina yang bekerja sebagai Pengurus Sumber Manusia ketika dihubungi baru-baru ini.
Ohana diasaskan pada tahun 2015 oleh tiga orang sahabat iaitu Nik Mohd. Zawanie Nik Mat, 33; Norazlina Ahmad, 33, dan Wan Abdullah Mukhtaruddin Ilyas Wan Mohd. Nasir, 25.
Pada peringkat awal, ia hanya sebuah kumpulan pendaki dalam kalangan rakan-rakan yang meminati aktiviti mendaki gunung di negara ini. Disebabkan sambutan yang menggalakkan, timbul idea untuk mereka menganjurkan program pendakian.
Program pendakian pertama anjuran Ohana ialah menaiki gunung Yong Belar, Kelantan. Setelah empat tahun beroperasi sebagai penganjur program pendakian di Malaysia, kini Ohana mempunyai lebih daripada 20 program setiap bulan di dalam dan luar negara.
Nik Mohd. Zawanie atau lebih dikenali dalam kalangan pendaki sebagai Nick Mulya berkata, Ohana diambil daripada perkataan Hawaii yang bermaksud keluarga dan menggambarkan pasukannya bergerak sebagai satu keluarga dalam menguruskan sebarang aktiviti pendakian atau percutian.
“Kami menganjurkan aktiviti pendakian berkos rendah tanpa berkompromi dari segi keselesaan. Pada peringkat awal, ramai dalam kalangan peserta kami adalah rakan-rakan dan para pelajar institusi pengajian tinggi. Jadi, kami tidak boleh mengenakan bayaran yang tinggi.
Hobi
“Sehingga hari ini, kami masih menyasarkan para pelajar dan golongan pertengahan yang mempunyai hobi mendaki gunung dan bercita-cita untuk menawan gunung-gunung di Malaysia dan seluruh dunia. Syukur, sambutan amat menggalakkan dan para pelajar yang telah tamat pengajian juga masih ramai menggunakan perkhidmatan kami,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ohana diperkuatkan oleh 26 orang termasuk bahagian pengurusan atasan, kru pendakian dan pekerja sambilan. Pengurusan dipecahkan kepada beberapa bahagian mengikut program di negara-nagara yang terlibat.
Dari segi pakej pendakian terdapat lebih 30 program yang ditawarkan Ohana dalam dan luar negara. Antara pakej negara luar yang ditawarkan termasuklah Indonesia, Vietnam, Filipina, Nepal, Jepun, Sri Lanka, India, China dan Australia.
Menariknya, pelbagai pakej pendakian ditawarkan mengikut kesesuaian bajet dan tempoh hari yang dikehendaki pelanggan. Ohana mempunyai pakej dalam negara serendah RM110 sahaja dan tidak melebihi RM699, manakala pakej luar negara serendah RM620 dan tidak melebihi RM4,199. Setakat ini, pakej yang paling digemari ramai ialah Annapurna Base Camp, Nepal; Gunung Fuji, Jepun; Gunung Kerinci, Indonesia dan Gunung Fansipan, Vietnam.
Urus sendiri
Nick Mulya yang memegang jawatan Pengarah memberitahu, pihaknya dapat menawarkan harga pakej yang murah kerana tidak menggunakan pihak luar dalam mana-mana aktiviti pendakian dan semuanya diuruskan sendiri daripada berurusan dengan pihak di sesuatu lokasi dan pemandu arah.
“Ketika ini, kami sedang meneroka tempat baharu iaitu Tiger Leaping Gorge, Yunnan, China. Kami mengkaji terlebih dulu tentang lokasi ini dan turun padang untuk melihat sendiri serta berunding dengan pihak tempatan secara terus bagi mendapatkan kos paling murah.
“Begitulah yang kami amalkan selama ini iaitu berurusan secara terus dengan pihak-pihak di lokasi pendakian tanpa menggunakan ejen, sekali gus dapat mengurangkan kos. Dari segi makanan juga kami membeli barang mentah dan memasak sendiri bagi menjamin kualiti dan rasanya,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Antara lokasi popular pilihan pelanggan Ohana di luar negara ialah Annapurna Base Camp yang ditawarkan pada harga RM1,800 hingga RM2,100 seorang tidak termasuk tiket kapal terbang. Pakej tersebut merangkumi makanan, penginapan, pengangkutan, permit, pemandu pelancongan dan porter.
Sementara itu, Wan Abdullah Mukhtaruddin Ilyas yang merupakan Penolong Pengurus Negara Ohana menyifatkan, bidang tersebut berpotensi untuk berkembang disebabkan minat masyarakat tempatan yang tinggi terhadap aktiviti mendaki gunung.
Katanya, peluang bisnes berkenaan mempunyai masa depan yang cerah kerana tidak banyak pihak yang menawarkan pakej mendaki secara sepenuh masa di negara ini.
“Walaupun begitu, pihak kami tidak mengambil mudah setiap pakej pendakian yang ditawarkan dan akan memastikan setiap trip berjaya serta menjadi kenangan termanis buat peserta.
“Bagi seorang peserta, untung kami tidak tinggi terutamanya bagi pakej lokal, tetapi kami menyasarkan jumlah trip dan bilangan peserta.
“Kami juga mengutamakan kepuasan pelanggan dan memberi jaminan wang dipulangkan sekiranya sesuatu trip itu dibatalkan disebabkan atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan,” katanya yang menanggung kerugian puluhan ribu ringgit dalam kes letupan gunung berapi di Rinjani, Indonesia pada tahun lalu akibat terpaksa membatalkan pendakian.











