KUALA LUMPUR 19 April – Jalan Merah Caga (Persimpangan SUKOM), Bukit Jalil menghala ke Bandar Baru Sri Petaling, Selangor kini ditutup bagi memberi laluan kerja-kerja pelebaran Lebuhraya Shah Alam (Kesas).
Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) memaklumkan, kerja-kerja pelebaran itu dijadualkan berakhir pada 30 Jun ini atau mungkin dilanjutkan mengikut perkembangan projek.
“Sebagai alternatif, pengguna yang ingin ke Bandar Baru Sri Petaling, Salak Selatan dan Kampung Malaysia Tambahan boleh membuat pusingan U di persimpangan Awan Kecil (Jalan Barat) seterusnya memasuki semula Lebuhraya KESAS dan mengambil lencongan ke Jalan Merah Caga,” katanya.
Tambahnya, langkah-langkah keselamatan seperti kawalan lalu lintas, pemasangan kon keselamatan, papan tanda amaran, penghadang plastik dan konkrit akan ditempatkan di kawasan berkenaan.
Prolintas berkata, pasukan tindakan kecemasan (ERT) bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) akan ditugaskan 24 jam di kawasan terlibat bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Pengguna dinasihatkan berhati-hati dan mematuhi arahan petugas dan papan tanda di kawasan terbabit. – UTUSAN ONLINE











