JOHOR BAHRU 19 April – Selepas hampir setahun pemimpin MCA dan UMNO bertikam lidah sejurus selepas kecundang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sudah tiba masanya untuk kedua-dua pemimpin parti terbesar di dalam Barisan Nsional (BN) berbaik semula untuk membela rakyat.

Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, perbalahan antara pemimpin tertinggi MCA dan UMNO hanya merugikan BN, negara dan semua penduduk kerana tidak boleh menjadi pembangkang yang kuat.
“Apa sahaja sebabnya, kita perlu berdamai. Selepas hampir setahun berbalah sudah tiba masanya kita berbaik dan saling membantu sesama sendiri, eratkan perpaduan dan persefahaman.
“Semua parti komponen dalam BN bagaikan adik beradik malah MCA antara parti terawal bersama UMNO untuk membentuk kerajaan, sudah pasti selepas beberapa generasi pemimpin akan ada perselisihan faham,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, perbalahan tidak boleh berterusan dan perlu cari jalan penyelesaian dan bersama-sama maju ke depan dalam beberapa P
Pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan, gandingan UMNO dan PAS dilihat mendapat kembali kepercayaan masyarakat Melayu dan itu perkembangan positif.
Menurutnya, UMNO berhak bekerjasama dengan PAS asalkan tidak menganggu kepentingan MCA dan masyarakat Tionghoa.
Katanya, ada pemimpin MCA yang menghentam UMNO kerana kerjasama itu sedangkan beliau lupa, kemenangannya pada PRU lalu atas bantuan UMNO dan pengundi Melayu.
“Ini hakikat sebenar, realiti yang berlaku. Jangan cuba berdolak-dalik kerana inilah kenyataan. Bagaimanapun, UMNO juga perlu bertolak ansur dengan MCA, suka atau tidak kita saling memerlukan.
“Melihat keadaan semasa, kebanyakan masyarakat Tionghoa kini bagaikan menyesal mengundi DAP berikutan tindakan menteri kewangan yang memperkenalkan banyak cukai baharu kepada peniaga hingga membebankan mereka.
“Ini masa terbaik untuk kembali mendapatkan kepercayaan masyarakat Tionghua dan bersama-sama UMNO dan PAS untuk menarik pengundi kembali kepada BN,” katanya. – UTUSAN ONLINE











