Restoran kotor penuh lipas diarah tutup - Utusan Malaysia

Restoran kotor penuh lipas diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 April – Sebuah restoran yang dipenuhi pelanggan di Jalan SS 15/4, Subang Jaya dekat sini diarahkan tutup serta-merta dalam serbuan Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.

Arahan penutupan itu dibuat selepas mendapati premis berkenaan tidak memenuhi tahap kebersihan memuaskan dengan persekitaran dapur yang kotor dan tercemar.

Lebih menjijikkan, Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Makanan itu turut mendapati kerja-kerja penyediaan bahan mentah dilakukan di atas permukaan lantai dapur tanpa menghiraukan lipas yang berkeliaran.


Pengarah Kesihatan MPSJ, Dr. Roslan Mohamed Hussin berkata, tindakan penutupan premis dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil Establishmen Makanan MPSJ 2007. 

“Restoran ini akan ditutup maksimum 14 hari sehingga pemeriksaan semula dilakukan dan pihak kami berpuas hati dengan tahap kebersihan yang ditunjukkan. 

“Pemeriksaan akan dijalankan secara berkala pada setiap hari dan minggu bagi memastikan premis makanan di bawah kawasan pentadbiran MPSJ sentiasa bersih dan mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan MPSJ, Nordin Harun yang mengetuai operasi berkata, sebanyak 19 daripada 50 premis berjaya diperiksa dalam operasi itu manakala selebihnya akan disambung esok.


“Pemeriksaan semasa operasi hari ini mendapati enam premis beroperasi tanpa lesen yang sah dari pihak MPSJ,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×