VALENCIA 19 April – Pengendali Valencia, Marcelino menegaskan bahawa tekanan berada pada Arsenal ketika kedua-dua pasukan akan bertemu di separuh akhir Liga Europa.
Toni Lato dan Dani Parejo menjadi nadi kepada kejayaan Los Che selepas mereka menundukkan Villarreal 2-0 untuk meraih kemenangan 5-1 secara agregat di suku akhir.
Marcelino tidak begitu gembira dengan aksi suku akhir pertama mereka namun aksi timbal balas di Mestalla membuktikan mereka lebih dominan.
Marcelino menegaskan bahawa Arsenal masih dilihat sebagai pilihan dalam perlawanan itu.
“Arsenal berjuang untuk ke Liga Juara-Juara, dengan kehadiran jurulatih yang cukup mengenali kami, jelas mereka antara pasukan pilihan.
“Apa pun boleh berlaku di separuh akhir. Pada masa sama, perjalanan ke final di Baku masih panjang,” katanya.-AGENSI











