NAPLES 19 April – Carlo Ancelotti memiliki keyakinan dengan pasukan Napoli dan mempertahankan skuad kendaliannya itu meskipun tewas kepada Arsenal dalam saingan Liga Europa.
Pasukan Serie A itu tewas di suku akhir dengan keputusan 0-1 di laman sendiri sekali gus menjadikan agregat 0-3.
Ancelotti yang berada dalam musim pertama bersama pasukan itu berkata, Napoli perlu terus maju walaupun gagal di pentas Eropah.
“Saya percaya pasukan ini memiliki kualiti. Pemain sudah lakukan segalanya tetapi ini adalah bola sepak.
“Ada masanya tidak semua perancangan kami menjadi. Kami cuba, kami pandang ke hadapan, tiada sebarang drama daripada pemain atau kelab, semua pemain bersatu untuk memajukan kelab ini.
“Saya fikir Napoli tidak pernah melangkah ke suku akhir saingan Eropah sebelum ini, jadi objektif kami adalah untuk terus menjadi lebih baik,” katanya.-AGENSI











