MEE UDANG BERASAP MAN DI LEPAI - Utusan Malaysia

MEE UDANG BERASAP MAN DI LEPAI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAIK sahaja sepinggan mi udang dihidang di atas meja, aroma masakan itu terus menusuk ke hidung sehingga membangkitkan selera. Lebih istimewa, makanan yang dihidangkan di atas hot plate itu masih berasap dan menggelegak ketika penutupnya dibuka.

Kepulan asap itu menarik perhatian pengunjung di meja lain yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar dan video untuk dimasukkan ke Instagram, Facebook atau Twitter masing-masing.

Begitu hebatnya penangan Mee Udang Berasap yang menjadi menu istimewa di Restoran Man D Lepai yang terletak di Kampung Dalam Kota, Lepai di Alor Setar, Kedah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keistimewaan dan daya tarikan mi udang tersebut menjadikan restoran yang diusahakan Abdul Rahman Md. Arof sentiasa penuh dikunjungi orang ramai untuk menjamu selera.

Abdul Rahman berkata, dia sendiri akan mengambil udang-udang segar di Kuala Kedah bagi memastikan keenakan dan kualiti mi udang yang disajikan itu sentiasa terjaga.

Di sebalik kisah mi udang itu, beliau membuka cerita bahawa menu yang mula diusahakan sejak enam tahun lalu bersama seorang tukang masak dari Perak, bukanlah yang pertama diusahakannya.

Sebaliknya, bapa kepada dua cahaya mata itu memberitahu bahawa beliau terlebih dahulu menjalankan membuka gerai roti canai secara kecil-kecilan pada 1997, sebelum bertatih mengusahakan sebuah restoran di lokasi yang lebih strategik.

Anak jati Kampung Lepai itu memberitahu, selain Mee Udang Berasap yang menjadi menu utama di Man D Lepai miliknya, beliau turut menyediakan masakan barat seperti chicken chop, lamb grill dan lain-lain. Makanan popular penduduk tempatan tidak dilupakan apabila beliau turut menyajikan bihun sup, nasi ayam, tomyam serta makanan ala carte lain.

“Pada waktu makan tengah hari pula, kami menawarkan puluhan lauk-pauk yang disediakan secara tradisional atau digelar menu kampung dengan cita rasa yang asli,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Menurut Abdul Rahman, restoran yang dinamakan sempena gabungan sebahagian namanya dan Kampung Lepai itu dibuka pada pukul 6.45 pagi sehingga 1 pagi, setiap hari kecuali Rabu.

Mampu menampung sehingga 150 pengunjung dalam satu-satu masa, restoran Man D Lepai kini dikendalikan oleh 26 pekerja termasuk enam daripadanya tukang masak berpengalaman.

“Boleh dikatakan, sudah 22 tahun saya terlibat dalam perniagaan kedai makanan. Pelbagai cabaran sudah ditempuh termasuk mengalami ‘slip disc’ ketika menebar roti canai dahulu dan sejak itu, saya terfikir untuk mempelbagaikan menu selepas bermula dengan modal kira-kira RM50,”tambahnya.

Beliau berkata, perniagaan makanan seperti ini tidak semudah seperti disangka kerana pihak pengurusan mesti jujur dan cekap dalam memastikan makanan yang dihidangkan berkualiti, selain layanan terhadap pelanggan sentiasa mesra.

“Ini kerana pelanggan yang datang makan di sini sanggup mengeluarkan belanja untuk menikmati makanan yang sedap dan layanan yang berpatutan. Jadi, kita (pemilik dan pekerja) tidak boleh bekerja sambil lewa,” katanya.

“Saya juga sering berpesan kepada pekerja, sekiranya ada orang yang datang ke sini tidak ada duit untuk makan, beri sahaja makanan kepada mereka secara percuma,” katanya lagi.

Menyentuh perancangan masa hadapan, beliau bercadang untuk menambah menu stimbot dan makanan berkonsepkan set seperti ikan dan lain-lain kelak, disamping akan melebarkan sayap dengan menawarkan jualan pes kuah mi udang.

“Buat masa ini, saya belum terfikir untuk menambah cawangan restoran kerana mahu mengukuhkan jenama Man D Lepai di lokasi ini terlebih dahulu,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini