PERAK meneruskan misi untuk menjulang Piala FA musim ini apabila layak ke saingan suku akhir setelah menewaskan Jerantut 2-1 pada perlawanan pusingan ketiga di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka kelmarin.
The Bos Gaurus bagaimanapun terpaksa bermandi peluh sebelum menyingkirkan pasukan daripada Liga M4 itu.
Pengendali Perak, Mehmet Durakovic berkata, Jerantut memberi cabaran hebat kepada pasukannya sehingga dikejutkan dengan gol pendahuluan tuan rumah pada masa kecederaan separuh masa pertama.
“Pemain pertahanan Jerantut dan penjaga golnya beraksi dengan baik sehingga menyukarkan kami untuk menghasilkan jaringan.
“Kami terpaksa mengubah corak serangan pantas sebaik babak kedua bersambung namun benteng pertahanan Jerantut terlalu kebal,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Menurutnya, beliau gembira apabila jaringan penyerang importnya, Wander Luiz berjaya meledakkan dua jaringan bagi memastikan pasukannya layak ke suku akhir.
“Sebenarnya kita mampu menghasilkan lebih daripada dua jaringan tetapi aksi cemerlang penjaga gol tuan rumah menyebabkan hanya dua peluang berjaya disudahkan dengan baik,” ujarnya.
Beliau memberitahu, Jerantut mempunyai ramai pemain muda yang berpotensi untuk digilap namun mereka perlukan lebih banyak pendedahan.
“Mereka terlalu bersemangat sehingga kami terpaksa melakukan serangan dari semua arah untuk membelah benteng pertahanan sebelum berjaya menghasilkan jaringan,” jelasnya.
Pada perlawanan kelmarin, Muhamad Firdaus Abdul Razak berjaya meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi jaringan menarik hasil sepakan percuma pada masa tambahan.
Wander Luiz muncul wira pelawat apabila meledakkan dua gol pada minit ke-75 dan 84 sekali gus membawa Perak ke saingan suku akhir Piala FA 2019.











