RATU skuasy negara, Datuk Nicol David dipaksa bermandi peluh ketika berdepan pemain berusia 17 tahun dari Mesir, Jana Shiha pada pusingan pertama Kejohanan Antarbangsa Gouna, Mesir apabila diheret beraksi dalam lima set kelmarin.
Juara dunia lapan kali tersebut bermula baik pada set pertama, namun Shiha yang merupakan pemain wildcard tampil agresif bangkit pada set kedua dan keempat, namun bekas pemain No.1 dunia tersebut bijak mengatur langkah untuk muncul pemenang dengan keputusan 11-7, 6-11, 13-11, 6-11, 11-8 dalam tempoh 46 minit perlawanan.
Hasil kemenangan tersebut, perjalanan Nicol pada pusingan kedua tidak mudah apabila pemain berusia 35 tahun itu akan berdepan pemain ranking No. 1 dunia dari Mesir, Raneem El Welily yang berlangsung hari ini.
“Saya melakukan semampu yang boleh kerana saya tahu pemain muda ini akan cuba mengambil segala peluang yang ada untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
“Saya bermain dengan baik tetapi dia (Shiha) berjaya mencari ruang untuk memberi tentangan. Saya mula kehilangan fokus pada perlawanan tersebut dan terpaksa melalui perlawanan yang panjang. Bagaimanapun, fokus saya kembali semula dan saya gembira meraih kemenangan 3-2 hari ini (semalam).
“Saya telah beraksi di sini sebelum ini dan memerlukan masa untuk kembali pada tahap terbaik. Pada perlawanan itu saya terpaksa melihat pergerakan bola sebelum memukulnya, jadi itu yang saya lakukan. Saya sangat gembira berjaya melepasi perlawanan pertama ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Nasib tidak menyebelahi pemain lelaki negara, Ivan Yuen selepas tewas kepada pemain ranking ke-23 dunia, Tom Richards 11-5, 11-5, 11-6 dalam tempoh 29 minit.











