NEW YORK 18 April – Penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah, 26, disenarai sebagai antara 100 manusia paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time.
Bintang Mesir itu yang turut menjadi antara enam penghias muka depan majalah tersebut sempat berkongsi pandangannya mengenai isu kesamarataan wanita.
“Kita perlu mengubah cara kita melayan wanita dalam budaya kita. Itu sahaja caranya, ia bukan satu pilihan.
“Saya menyokong wanita lebih daripada sebelum ini, kerana saya rasa mereka layak menerima lebih daripada apa yang diberikan kepada mereka ketika ini,” kata Salah dalam Time ketika menjadi penghias muka depan edisi April 2019.
Salah tersenarai bersama penyanyi terkenal seperti Taylor Swift, Ariana Grande dan Lady Gaga, selain Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri Pakistan dan bekas pemain kriket dunia Imran Khan, pengasas Facebook Mark Zuckerberg serta bekas wanita pertama AS, Michelle Obama.
Anugerah yang dibahagi kepada beberapa kategori termasuk perintis, artis, pemimpin dan ikon itu meletakkan Salah dalam kategori titan.
Personaliti sukan yang turut tersenarai adalah bintang bola keranjang NBA, LeBron James; pemain bola sepak wanita Amerika Syarikat, Alex Morgan; pemain tenis wanita Jepun, Naomi Osaka; pelari jarak sederhana, Caster Semenya; bintang golf, Tiger Woods dan pemain game Ninja, Richard Tyler Blevins.
Salah memberi pengaruh besar kepada Liverpool sejak menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu pada 2017, malah muncul penjaring terbanyak liga pada musim pertamanya di Anfield. – AGENSI











