Malaysia yakin tingkat gol pukulan sudut penalti - Utusan Malaysia

Malaysia yakin tingkat gol pukulan sudut penalti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 April – Skuad hoki lelaki negara kini lebih yakin untuk meningkatkan kadar jaringan pukulan sudut penalti pada Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki selepas berguru dengan pakar pukulan sudut dari Belanda, Taeke Taekema selama kira-kira kurang sebulan.

Pemain pertahanan negara, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan berkata bekas pemain kebangsaan Belanda berusia 39 tahun itu, telah mengajarkan teknik-teknik berguna untuk meningkatkan penyudahan yang tepat.

“Beliau juga telah melihat dan analisis seorang demi seorang dan memberitahu apa yang perlu diubah atau diperbaiki. Macam saya sendiri pun ada dua tiga perkara yang saya perlu ubah untuk meningkatkan teknik flick saya,” kata pakar flick negara berusia 23 tahun itu ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang baharu kembali menyertai latihan skuad kebangsaan dua minggu lalu selepas pulih dari kecederaan pergelangan tangan kiri ketika aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) pada Januari lalu, berkata beliau sudah mula mendapat balik sentuhannya.

“Apabila mula-mula turun latihan, flick saya tak menjadi dan basic hilang, tetapi selepas beberapa hari ada peningkatan dan dapat diperbaiki. Dengan adanya Taekema, saya harap ia dapat tingkatkan lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pakar flick, Najmi Farizal Jazlan turut yakin bahawa skuad ‘The Malaysian Tigers’ mampu meningkatkan jaringan gol menerusi pukulan sudut pada kali ini, selepas kerap kali dikritik kerana tidak dapat menyudahkan peluang itu pada beberapa kejohanan sebelum ini.

“Banyak yang diajar dari segi teknik, tetapi ada juga beberapa perkara kecil yang dipelajari yang boleh menolong kami untuk jaringkan gol. Kita lihat pada kejohanan kali ini, saya rasa kita boleh jaringkan lebih banyak gol pada tahun ini dari serangan pukulan sudut,” katanya.

Kedua-dua pemain itu juga berharap bahawa mereka dapat menempatkan diri dalam senarai 18-pemain ke kelayakan Olimpik itu yang akan berlangsung bermula 26 April hingga 4 Mei di Stadium Hoki Nasional, di sini. Senarai itu akan diumumkan oleh ketua jurulatih, Roelant Oltmans esok.

Untuk rekod, Taekema diiktiraf sebagai pakar pukulan sudut penalti paling digeruni di dunia selepas menjaringkan 221 gol daripada 242 penampilan buat skuad kebangsaan Belanda bermula 2000 hingga 2011.

Dalam pada itu, Taekema berkata Malaysia yang mempunyai enam pakar flick yang dengan kebolehan teknikal, mampu meningkat kadar jaringan pukulan sudut dengan meneruskan latihan dan mencari kaedah flick kreatif.

“Pakar-pakar flick berkenaan baik-baik belaka, tetapi cuma ada beberapa perkara kecil yang sedang kita perbaiki. Mereka juga perlukan kedua-dua kemampuan teknikal dan mental kerana mereka perlu ada perancagan khas untuk membuat jaringan dengan bola yang satu itu…Ia juga mengenai cara menolak keluar dan menghentikan bola, kepakaran melakukan flick semata-mata bukannya satu-satunya kemahiran yang diperlukan…tetapi rentak keseluruhan di dalam sudut penalti itu.

“Kita juga perlu mencari penyelesaian apabila berdepan situasi di mana pelari nombor satu dan nombor dua (pertahanan) memang benar-benar laju, ini bermakna anda bukan sahaja perlu melakukan pukulan terus, tetapi hendaklah mempelbagaikan pergerakan, pergerakan di atas, ada banyak perkara berbeza yang boleh cuba kita dilakukan,” katanya.

Malaysia, pasukan ranking ke-13 dunia, yang diundi Kumpulan B, akan membuka saingan menentang Brazil (27) pada 26 April, diikuti perlawanan menentang China (14) dua hari kemudian dan Itali (32) pada 29 April.

Pencabar utama, Kanada yang menghuni ranking ke-10 dunia, diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Austria (19), Wales (24) dan Belarus (31). – BERNAMA



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini