KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menahan sembilan lelaki selepas disyaki menjalankan kegiatan ulat teksi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Pengarahnya, Datuk Ismail Mohd. Zawawi berkata, kesemua suspek yang ditahan dalam operasi bermula Mac hingga Rabu lepas berusia dalam lingkungan 40 hingga 60 tahun ditahan.
“Ulat teksi ini akan mendesak atau memujuk pelanggan menggunakan khidmatnya selain meminta bayaran sebanyak RM30 sekiranya pelanggan ingin mendapatkan kenderaan ke mana-mana destinasi.
“Berdasarkan risikan, operasi ulat teksi ini kebiasaannya bermula pada pukul 4 pagi hingga 7 pagi,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari JPJ ke-73 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Tambahnya, seramai 16 anggota JPJ telah ditempatkan di TBS bagi membanteras kegiatan seperti ulat teksi dan ulat tiket serta memantau perjalanan bas.
“Bagi lokasi seperti Hentian Duta pula, JPJ akan menempatkan anggota sekiranya menerima aduan kegiatan ulat tiket di lokasi tersebut,” katanya.
Mengulas penahanan 23 anggota JPJ Pulau Pinang semalam, Ismail mengingatkan anggotanya untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak terlibat dalam rasuah.
“Kita tidak akan berkompromi sekiranya terdapat anggota terlibat dalam kegiatan rasuah atau melanggar SOP selain unit integriti JPJ akan memantau anggota yang melakukan tugas di lapangan.
“Sekiranya ada anggota yang membuat kesalahan, siasatan akan dijalankan terlebih dahulu sebelum tindakan tatatertib dikenakan,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata, 31 individu termasuk 23 anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang kerana disyaki melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di sekitar negeri itu. – K! ONLINE











