CYBERJAYA 17 April – Kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk Malaysia telah meningkat kepada 121.11 peratus tahun lalu daripada 6.1 peratus pada 2008.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), jumlah langganan jalur lebar tetap pula meningkat daripada 2.59 juta pada 2017 kepada 2.66 juta tahun lalu.
Jelasnya, seramai 36.8 juta orang pula merupakan pelanggan jalur lebar mudah alih, pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus atau tambahan 1.5 juta pelanggan, pada tahun lalu.
“Peningkatan itu didorong oleh capaian liputan 3G dan 4G/LTE yang lebih meluas, kualiti rangkaian yang lebih baik serta peningkatan persaingan dalam pasaran jalur lebar.
“Selain itu, peningkatan tersebut juga adalah hasil inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menurunkan harga jalur lebar iaitu Kelajuan Berganda Pada Separuh Harga (Double the speed, Half the price) pada tahun lalu,” jelas SKMM dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah SKMM, langkah berkenaan adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.
Jelasnya, secara purata, harga untuk perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi sudah menurun sebanyak 49 peratus.
Usaha itu jelas SKMM, turut memberi impak kepada kedudukan terkini Malaysia dalam Speedtest Global Index.
“Laporan Speedtest Global Index oleh Ookla pada Februari lalu mencatatkan kelajuan muat turun jalur lebar tetap di Malaysia secara purata adalah 64.51 Megabit sesaat (Mbps) berbanding 22.26Mbps tahun lalu dan negara kini berada pada kedudukan ke-32 di dunia berbanding ke-56 pada 2017,” jelasnya.
Menurut SKMM, Malaysia bakal memperkenalkan teknologi mudah alih generasi kelima atau 5G yang dijangka mampu mengubah hampir keseluruhan aspek kehidupan seharian termasuk urusan kerajaan dan perniagaan.
“Penggunaan secara komersial teknologi 5G di negara ini akan dapat direalisasikan menjelang 2021 atau 2022.
“Apa yang pasti, SKMM akan terus komited dalam usahanya memperkukuhkan kesalinghubungan digital di seluruh negara sekali gus memberikan lonjakan kepada kehidupan rakyat secara keseluruhannya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











