MIRI 16 April – Kebakaran hutan, ladang serta tanah gambut di Kuala Baram, di sini semakin buruk dengan keluasan kawasan yang terjejas bertambah ke 100 hektar hari ini berbanding 70 hektar semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri, Law Poh Kiong berkata, kebakaran itu telah merebak sehingga ke kawasan berhampiran Universiti Curtin disebabkan keadaan angin kencang dan masalah air.
“Operasi pemadaman api kini dijalankan oleh unit udara bomba,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Piasau, Datuk Sebastian Ting Chew Yew menyarankan agar pembenihan awan dilakukan di bandar raya ini bagi menangani masalah kebakaran akibat musim kemarau yang melanda sekarang.
Beliau sebelum itu menyumbangkan topeng muka kepada pelajar dua sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Kuala Baram yang terjejas teruk akibat asap kebakaran berkenaan.- BERNAMA











