SANDAKAN 16 April – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian tetak di sebuah rumah di Kampung Tinusa 2, Batu 7, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, suspek berumur 43 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.40 malam tadi di rumahnya di kampung berkenaan.
“Insiden ini (tetak) disyaki berlaku ketika mangsa, seorang lelaki berumur 18 tahun, datang ke rumah kawannya di kampung itu dan tiba-tiba mangsa diserang oleh suspek menggunakan parang.
“Akibatnya mangsa mengalami kecederaan di jari tangan kanan. Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Azhar berkata, senjata yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa turut ditemukan ketika penahanan ke atas suspek dibuat beberapa jam selepas kejadian.
Tambahnya, suspek kini ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.- BERNAMA











