Keamanan, penyatuan semula aspirasi rakyat Korea Selatan - Utusan Malaysia

Keamanan, penyatuan semula aspirasi rakyat Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL 16 April – Seperti ada sesuatu di sebalik keheningan suasana di Kuil Jingwansa, ketika angin akhir musim sejuk berhembus lembut pada kedinginan empat darjah Celsius tengah hari itu, seolah-olah ada bisikan yang tidak dapat didengar telinga tetapi dapat dirasai mencucuk hingga ke kalbu bahawa keamanan dan penyatuan semula adalah aspirasi utama dan terpenting buat setiap diri rakyat Korea Selatan.

Daripada seramai 51.3 juta penduduk negara itu, beberapa orang yang ditemui tidak teragak-agak untuk mengatakan “Ya” dengan tegas apabila diajukan soalan mengenai mungkinkah berlaku penyatuan semula negara itu dengan Korea Utara dan mereka menyambut baik segala usaha yang telah diambil oleh kerajaan kedua-dua negara ke arah mempertingkatkan saling kefahaman yang akhirnya akan membawa kepada penyatuan semula dengan merujuk kepada beberapa episod akhir-akhiri ini yang menggambarkan kemesraan hubungan antara pemimpin kedua-dua negara.

“Mungkin ia tidak mudah dan lancar disebabkan banyak faktor tetapi ia tidak harus menghentikan usaha-usaha yang dilaksanakan dan perasaan muhibah yang ditunjukkan oleh kedua-dua Presiden Moon Jae-in dan Pemimpin Agung Kim Jong-un,” kata seorang wartawan asing yang, bersama-sama 70 yang lain dari seluruh pelosok dunia, yang meluangkan masa seminggu di Korea Selatan baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka menjadi tetamu Persatuan Wartawan Korea (The Journalists Association of Korea – JAK) yang menjadi tuan rumah kepada Persidangan Wartawan Sedunia 2019 (World Journalists Conference 2019) di sini yang bermula pada 24 Mac lepas, yang diikuti dengan beberapa lawatan singkat ke beberapa kota metropolitan dan wilayah di seluruh negara ini.

Persidangan itu yang bertemakan ‘Peranan Wartawan Dalam Memastikan Keamanan di Semenanjung Korea (The Role of Journalists in Ensuring Peace in the Korean Peninsula)’, amat menarik perhatian para peserta, terutama wartawan kanan dan berpengalaman, yang sebahagiannya datang dari negara-negara yang tidak biasa dengan peperangan.

Sepanjang perjalanan menaiki bas ke pelbagai destinasi itu, ramai yang berbincang mengenai apakah peranan yang boleh dimainkan oleh mereka untuk menyumbang kepada aspirasi untuk melihat Korea yang bersatu, yang telah terpisah sejak lebih tujuh dekad. Zon bebas tentera (DMZ) yang memisahkan kedua-dua negara panjangnya hanya kira-kira 250 km dan lebar 4 km tetapi ia telah menyebabkan kesengsaraan kepada beribu-ribu keluarga yang terpisah daripada orang tersayang yang tinggal di kedua-dua belah sempadan.

Wartawan dari Indonesia Teguh Santosa berkata dunia baru-baru ini telah menyaksikan Korea Utara menyertai arena perbincangan yang berketamadunan. Kim Jong-un telah dua kali menemui Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Pertemuan pertama telah diadakan di Singapura tahun lepas dan pertemuan kedua di Vietnam pada akhir Februari tahun ini.

Dan ia adalah detik yang sukar dilupakan oleh warga Korea dan penduduk dunia yang telah menyaksikan di kaca TV Presiden Moon dan Kim berjabat tangan dan berjalan berpegangan tangan menuju tanah air berdaulat masing-maisng di sempadan pemisah.

“Semoga peristiwa bersejarah pada 27 April 2018, di kawasan DMZ di Panmunjom itu akan menjurus kepada penyatuan semula kedua-dua negara Korea tersebut,” kata Habib Toumi, wartawan dari Bahrain. Beliau berkata ia memberi harapan, yang bukan sahaja amat bermakna bagi warga kedua-dua negara Korea itu tetapi juga kepada dunia, yang sebenarnya takut adan bimbang dengan ujian-ujian peluru berpandu nuklear yang diadakan Korea Utara beberapa bulan sebelum itu.

Mengenai apa yang boleh dilakukan oleh kaum wartawan ke arah mencapai matlamat itu, Teguh, yang juga seorang pensyarah mengenai hubungan di Asia Tenggara dan menjadi pakar rujuk di Indonesia mengenai Korea Utara, salam kertas kerja beliau yang dibentangkan terdahulu mengatakan bahawa para wartawan mesti mengelak daripada melihat isu tersebut dari sudut peperangan.

“Ramai dalam kalangan kita melihat ‘situasi konflik’ ini dari sudut peperangan seolah-olahnya setiap konflik akan berkhir dengan pertempuran yang dramatik. Fahamilah keseluruhan dinamiknya dan berilah gambaran menyeluruh dan mencari perspektif yang lebih positif dan membina,” kata beliau.

Zhu Xiaoqian, pemenang beberapa anugerah kewartawanan, dalam persembahannya pula berkata keamanan di semenanjung itu tidak akan dapat dicapai serta-merta dan memetik sebuah peribahasa lama yang mengatakan bahawa salji setebal tiga kaki tidak akan terhasil hanya dalam satu hari. Beliau berkata ia memerlukan semua pihak untuk terus menunjukkan keikhlasan dan perasan muhibah, menyelesaikan pertelingkahan dan memupuk kepercayaan.

Timalan Editor Eksekutif Pusat Berita Shanghai Media Group itu berkata semua media harus memainkan peranan sebagai penyebar konsep keamanan, membimbing orang ramai untuk memahami bahaya peperangan dan, justeru menolak peperangan dan mengalu-alukan keamanan.

Yang kedua, kata beliau, semua media harus mempertahankan semangat profesionalisme, membongkar kebenaran dan membantu orang ramai untuk memahami dunia luar secara objektif, scara sebenarnya, secara komprehensif dan tepat.

“Yang ketiga, media arus perdana mesti boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran media baharu untuk menjadi sumber berita kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang tepat, untuk memperkukuh dan mengekalkan kredibiliti sosial.”

Bagaimanapun, Teresa Pfuetzner, seorang wartawan dari Die Welt, Jerman berpendapat bahawa tema persidangan itu agak mengelirukan kerana para wartawan tidak mempunyai kuasa untuk memastikan keamanan tercapai dan ia juga bukan tugas mereka.

“Walaupun kita semua mengharapkan keamanan akan dapat dicapai, bidang kewartawanan dan aktivisme tidak boleh dicampuradukkan — walaupun ia mempunyai niat dan matlamat yang murni. Apa yang boleh kita lakukan ialah melaporkan apa yang berlaku,” kata beliau memberi amaran dalam kertas yang dibentangnya.

Beliau menambah bahawa “Tetapi dalam konteks keadaan yang rapuh ini, cara kita membuat laporan boleh mengubah keadaan.”

Beliau berkata apa yang boleh dikongsi rakyat Jerman dengan kedua-dua Korea ialah pengalaman keluarga dan rakan-rakan dan seluruh negara yang terpisah oleh keputuran politik selama berdekad-dekad lamanya.

Beliau berkata bahawa selepas 30 tahun Tembok Berlin dirobohkan, proses penyatuan semula kedua-dua negara Jerman itu masih belum selesai. Ramai orang di Jerman masih bercakap dan berfikir seperti mereka dari “barat” dan “dari timur”. Terdapat stereotaip tertentu yang masih kekal wujud.

Sekiranya tercapai keamaan di Semenanjung Korea suatu hari nanti, dalam apa juga bentuk, penyatuan semula memerlukan usaha yang banyak, kekuatan dan perasaan muhibah dalam kalangan rakyat – dan yang paling penting ialah saling memahami,” tambah beliau.

“Perkara yang kedua itu boleh digalakkan dengan menulis laporan yang mengandungi rasa empati, tidak melihatnya secara stereotaip dan kerana semata-mata mahu popular. Adalah diharap kita semua dapat menyumbangkan sesuatu,” kata beliau.

Sementara itu, Malaysia, yang merupakan jiran serantau yang hampir dengan Korea Selatan, selama ini menyokong proses perdamaian dan pelucutan senjata nuklear di Semenanjugn Korea. Keamanan di Semenanjung Korea akan menyumbang kepada keamanan serantau.

Media di Malaysia sentiasa melaporkan perkembangan positif di Semenanjung Korea, berkongsi aspirasinya untuk melihat hubungan yang lebih baik di semenanjung itu, yang merupakan satu-satunya negara di dunia yang masih terpisah iaitu negara Korea.

Di akhir persidangan, ramai dalam kalangan wartawan yang menyertai persidangan bersetuju bahawa usaha JAK yang bertujuan mempromosi keamanan dunia dan menyumbang kepada kemajuan media menerusi persidangan waratawan sedunia (WJC) itu telah mencapai kejayaan besar, terutama dalam menyampaikan berita-berita mengenai Korea Selatan dan aspirasinya untuk mencapai keamanan yang berkekalan.

“Sudah tentu ia amat berjaya. Kami telah melihat sendiri pembangunan yang telah dilaksanakan di seluruh negara di kawasan-kawasan metropolitan baharu, pelbagai kemajuan teknologi dan pusat penyelidikan.

“Hanya negara yang menaruh harapan yang tinggi dan percaya kepada diri sendiri sahaja yang akan membuat persiapan bersungguh-sungguh untuk akhirnya mencapai keamanan yang berkekalan,” menurut sesimpulan wartawan dari Malaysia, Mohamad Nasir Yusoff.

JAK, yang mempunyai anggota seramai 10,000 wartawan dari 187 syarikat media, menurut presidennya Jung Kyu Sung, berkongsi perkara yang sama dengan akhbar dari seluruh dunia – pengabdian kepada laporan berita yang benar dengan jiwa yang tenang dan memiliki semangat yang tinggi serta komited kepada kebebasan dan keamanan.

Dan, demi menyokong usaha JAK sebagai tuan rumah kepada persidangan wartawan dari seluruh dunia itu, Datuk Bandar Incheon Park Nam-choon berkata, “Saya mahu anda semua tahu, bahawa anda sebagai wartawan boleh memberi impak yang besar pada saat negara kami sedang menghadapi persimpangan genting dalam sejarah, memperkukuh ketegasan dan kemampuan untuk mempengaruhi masyarakat secara lebih hebat daripada orang lain.”

Keheningan suasana, kecuali bunyi desiran dedaunan yang berguguran, kedinginan angin di hujung musim dingin yang bertiup di Kuil Jingwansa di barat Seoul yang berabad-abad usianya itu, seolah-olah tidak henti-hentinya membisikkan perkataan ‘keamanan’ ke dalam jiwa wartawan yang hadir di situ. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini