Tiga lelaki menyamar polis ditahan - Utusan Malaysia

Tiga lelaki menyamar polis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 April – Polis menahan tiga lelaki selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan samun dengan menyamar sebagai anggota polis di Kondominium Jalan Klang Lama dan Jalan Sultan Ismail, di sini semalam.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 25 sehingga 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, pihaknya turut merampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba (1), gari (1) dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, kesemua suspek dipercayai telah menyamun sebuah kedai makan dan runcit yang diusahakan tiga warganegara asing hingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM3,800 dan RM5,000.

“Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) sebelum melakukan pemeriksaan lesen kedai dan dokumen pekerja.

“Kesemua suspek kemudiannya dikatakan memeras ugut mangsa supaya menyerahkan wang serta barang berharga yang lain jika tidak mahu ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ruslan, siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Kita juga giat melakukan siasatan susulan termasuk mengesan penglibatan suspek dengan kes-kes di daerah dan negeri lain.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden, Mohd. Aznal Alawi di talian 016-8390236 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini