KUALA LUMPUR 15 April – Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) Petronas Chemicals Group Bhd., Petronas Dagangan Bhd. dan Petronas Gas Bhd. berkata, kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor baru-baru ini tidak mempunyai kesan kewangan atau operasi kepada perniagaan mereka sekarang.
“Kami merujuk kepada insiden kebakaran yang berlaku pada 12 April 2019, kira-kira jam 1:25 pagi di PIC, Johor. Insiden tersebut tidak memberi impak kewangan atau operasi kepada perniagaan semasa kami,” kata Petronas Chemicals, Petronas Dagangan dan Petronas Gas dalam kenyataan berasingan ke Bursa Malaysia hari ini.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan Petronas Chemicals yang memiliki 50 peratus pegangan di dalam segmen petrokimia Pengerang mungkin menyaksikan penurunan dalam unjuran pendapatan susulan kes letupan yang melambatkan permulaan pengeluaran petrokimia.
AmInvestment Research berkata, memandangkan pematuhan ketat Petronas terhadap keperluan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, pihaknya menjangkakan siasatan menyeluruh terhadap punca kejadian boleh melambatkan pengeluaran petrokimia.
Katanya, bahagian petrokimia Pengerang dijangka memulakan pengeluaran pada separuh kedua 2019.
Bagaimanapun, AmInvestment menjangkakan kelewatan enam bulan sekiranya siasatan terhadap kejadian yang menangguhkan pengeluaran untuk tahun depan, menyebabkan pendapatan Petronas Chemicals bagi tahun kewangan 2020 menurun sedikit sekitar tiga peratus.
“Kami tidak menjangkakan sebarang pertambahan pengeluaran Petronas Chemicals dalam unjuran tahun kewangan 2019 kerana kumpulan telah memberi petunjuk bahawa penggunaan purata boleh kekal pada tahap sama bagi tahun kewangan 2016 hingga 2018.
“AmInvestment mengekalkan unjuran sementara menunggu penjelasan lanjut daripada pihak pengurusan,” katanya.
Bagi unjuran suku pertama tahun kewangan 2019, AmInvestment kekal optimis memandangkan harga produk Petronas Chemicals amat berkait rapat dengan harga minyak mentah Brent yang telah meningkat 37 peratus sejak 31 Disember 2018.
“Ia memberi impak lebih besar kepada kumpulan daripada kelewatan sementara permulaan projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang. Ini kerana peningkatan satu peratus dalam harga purata produk akan diterjemahkan kepada peningkatan tiga peratus yang lebih tinggi dalam keuntungan bersih,” katanya.











