PUTRAJAYA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menumpaskan sindiket yang terlibat dalam aktiviti memburu secara haram dan mengambil bahagian anggota haiwan liar bernilai kira-kira RM600,000 dalam Ops Belang di Taman Negara Terengganu semalam.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, Perhilitan menahan dua lelaki pemburu warga Vietnam berusia 25 dan 29 tahun di Hulu Sungai Tersat pada pukul 6.45 pagi selepas melakukan operasi selama dua hari di kawasan tersebut.
Jelasnya, siasatan mendapati, mereka telah menceroboh Taman Negara dan memasang sebanyak 70 jerat dawai untuk menangkap haiwan liar di dalam kawasan tersebut.
“Kita telah merampas kuku, taring, hempedu, daging serta tulang dipercayai merupakan anggota spesis harimau belang, harimau kumbang, beruang matahari dan babi hutan.
“Siasatan terhadap kedua-dua suspek turut mendapati mereka bersembunyi di dalam khemah dan tangki plastik selama lima bulan untuk menjalankan kegiatan tersebut di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Xavier, berdasarkan anggota haiwan liar yang ditemui, mereka dipercayai telah menangkap sekurang-kurangnya dua ekor harimau belang (2), harimau kumbang (2), beruang matahari (3) dan babi hutan (12).
Jelasnya, bagaimanapun, kesemua anggota yang ditemui telah dihantar untuk ujian asid deosiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan spesis dan bilangan keseluruhan haiwan liar yang telah dibunuh.
“Hasil siasatan terhadap mereka mendapati, kesemua bahagian haiwan liar ini kan dihantar ke Vietnam.
“Selain itu, kita juga percaya terdapat dua lagi individu yang terlibat dalam kegiatan ini yang masih bebas dan akan bekerjasama dengan pihak pasukan polis antarabangsa, Interpol untuk memburu mereka,” katanya.
Menurut Xavier, kedua-dua lelaki itu kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Enakmen Taman Negara Terengganu (No.39) kerana menceroboh Taman Negara, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memburu dan menyimpan hidupan liar.
Selain itu, kedua-dua suspek juga disiasat mengikut Seksyen 29 Akta 716 kerana memilki jerat dan mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun jika disabitkan atas kesemua kesalahan. – K! ONLINE












