Elak hutang negara berlebihan - Utusan Malaysia

Elak hutang negara berlebihan

Noor Azlan Ghazali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELANJAWAN 2021 yang dibentangkan baru-baru ini adalah tajuk hangat yang mengundang pelbagai pandangan dan tafsiran. Ia dikatakan bersejarah kerana memperuntukan jumlah terbesar dalam pembentangan belanjawan negara, iaitu RM322.5 bilion.

Sebenarnya, besar atau kecil saiz belanjawan bukanlah penentu mutlak baik-buruk sesuatu belanjawan. Peruntukan besar Belanjawan 2021 disandarkan kepada keperluan untuk menangani krisis ekonomi yang begitu runcing berikutan pandemik Covid-19.

Kemeseletan ekonomi menyaksikan sektor isi rumah, firma dan sektor antarabangsa terjejas. Ia bukan sesuatu yang asing bagi kerajaan meningkatkan perbelanjaan sebagai penyokong atau pencetus kepada pemulihan ekonomi.

Sejauh manakah kerajaan boleh berbelanja untuk merancakkan ekonomi? Apakah kesan perbelanjaan ‘mengembang’ ini terhadap kemampanan kewangan kerajaan dan ekonomi negara?

Dalam setiap belanjawan, terdapat tiga perkara penting yang perlu disasarkan oleh kerajaan iaitu pungutan hasil, perbelanjaan mengurus (Operating Expenditure-OE) dan perbelanjaan pembangunan (Development Expenditure-DE).

Dari sudut ekonomi, OE merujuk kepada perbelanjaan untuk kerajaan menjalankan operasi setiap tahun, antaranya penggajian, bayaran hutang dan pembekalan serta subsidi.

Asas pungutan cukai yang kecil dan kebergantungan terhadap hasil petroleum adalah antara isu utama berkaitan hasil kerajaan.

Sejak 1990, hasil kerajaan meningkat sebanyak sembilan kali ganda. Sementara itu, OE bagi Malaysia meningkat 11 kali ganda sejak 1990.

Baki Akaun Semasa (Current Account), iaitu perbezaan antara pungutan hasil dan OE semakin rendah sejak 2010 dan kini, Malaysia berhadapan dengan tekanan fiskal. Sekiranya baki ini menjadi negatif, iaitu apabila OE lebih besar daripada hasil, negara akan perlu berhutang untuk mengurus operasi kerajaan. Perkara ini mesti dielakkan.

Hal ini berbeza dengan keperluan berhutang untuk tujuan pembangunan (DE). Secara prinsipnya, berhutang untuk DE boleh diterima berdasarkan impaknya ke atas keupayaan yang menjana hasil jangka panjang.

Misalnya, dalam konteks ‘individu’, berhutang untuk membeli kereta atau rumah (DE) boleh diterima tetapi berhutang untuk mengisi minyak kereta atau makan minum seharian (OE) adalah amalan yang tidak mampan. OE sebaik-baiknya disandarkan kepada hasil pungutan tahunan. Kecekapan dan skala pengoperasian kerajaan menjadi antara penentu utama keperluan negara OE setiap tahun.

Apabila ditambah dengan perbelanjaan pembangunan (DE), jelas bahawa dalam tempoh 30 tahun kedudukan fiskal Malaysia umumnya berada dalam defisit. Ini bererti, setiap tahun kita berhutang untuk menjayakan pembangunan negara.

Defisit atau surplus ‘bukanlah’ perkara mutlak untuk menentukan sama ada perancangan kewangan kerajaan baik atau buruk.

Dari sudut ekonomi, tiada masalah kerajaan berhutang untuk menampung defisit fiskal, asalkan ia dalam kemampuan kerajaan membayar semula dan matlamat hutang itu jelas untuk tujuan pembangunan jangka panjang.

Natijahnya, negara berbeza dengan manusia. Keupayaan manusia untuk menjana pendapatan berubah mengikut usia.

Di usia emas, keupayaan menjana pendapatan menjadi semakin rendah. Keupayaan negara pula berbeza. Dengan kemajuan pembangunan yang baik, keupayaan menjana pendapatan semakin tinggi dengan peningkatan ‘usia negara’. Ekonomi fiskal tidak boleh disamakan dengan ekonomi peribadi. Penilaian yang betul dan menyeluruh perlu dibuat sebelum menentukan impak hutang negara ke atas ekonomi.

Tahap defisit fiskal dijangka mencecah 6.0% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun ini dan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada tahun ini dijangka mencecah 60.7% dari KDNK. Adakah negara akan bankrap seperti pernah hangat dilaungkan beberapa sebelum ini?

Defisit fiskal Malaysia pernah mencecah 6.7% ketika negara berhadapan dengan krisis Kewangan Global 2009. Secara beransur-ansur defisit ini dikurangkan kepada sekitar 3% pada 2017.
Kini 96% daripada hutang kerajaan adalah dalam nilai RM (hutang domestik) dan 71% daripadanya akan matang dalam jangka masa lebih dari lima tahun (berjangka panjang). Komposisi ini akan memberikan ruang kepada kerajaan untuk meningkatkan hutang.

Namun demikian, disiplin dalam mengurangkan defisit ke tahap yang stabil adalah penting. Negara boleh dan kadang kala perlu berhutang, namun penilaian yang rapi perlu dibuat bagi memastikan kewajarannya. Perkara penting yang perlu diambil kira adalah hutang yang ‘berlebihan’ di luar kemampuan mesti dielakkan.

Kedudukan hutang kerajaan mesti dipantau rapi kerana tahap defisit boleh mempengaruhi status kewangan dan ekonomi negara. Sasaran khusus wajar ditetapkan agar status kewangan kerajaan terus kukuh. Semoga ekonomi negara segera pulih dan kedudukan kewangan kerajaan menjadi lebih mantap.

Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali ialah Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×