LONDON 16 April – Meskipun terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Watford yang beraksi dengan 10 pemain, gol awal permainan yang dijaringkan Pierre-Emerick Aubameyang berjaya membantu Arsenal mencipta kemenangan 1-0 sekali gus menempatkan diri dalam empat pasukan teratas.
Aubameyang memanfaatkan kesilapan yang dilakukan penjaga gol Watford, Ben Foster untuk membuka tirai jaringan seawal minit ke-10.
Kapten Watford, Troy Deeney diarah keluar padang pada minit ke-11 bagaimanapun The Gunners gagal mengambil kesempatan malah bernasib baik kerana gawang mereka hampir dibolosi sebanyak dua kali, mujur bola terkena palang.
Kemenangan itu membolehkan Arsenal menduduki tangga keempat berkongsi 66 mata bersama Chelsea namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan dan itu merupakan aksi pertama mereka tanpa dibolosi di tempat lawan dalam kempen liga musim ini.
“Kami tidak mengawal permainan seperti yang dimahukan. Penting untuk kami mencari gol kedua namun kami tidak melakukannya,” kata jurulatih Arsenal, Unai Emery. – AFP











