KUALA LUMPUR 14 April – Kehangatan pilihan raya Presiden (Pilpres) berlangsung sejak 24 Mac lalu antara Joko Widodo atau Jokowi dan pesaingnya, Prabowo Subianto makin terasa selepas kedua-dua penyokong berhimpun dan berkempen di hadapan pejabat Kedutaaan Republik Indonesia dalam proses undian awal yang berlangsung hari ini.
Selain itu, keadaan di sekitar pejabat itu juga sesak teruk hampir dua kilometer di sepanjang Jalan Tun Razak menghala ke ibu negara sejak pukul 9 pagi.
Kedua-dua penyokong juga saling berbalas ejekan dan sindiran dengan laungan ‘Jomblo’ dan ‘Jokowi’ kedengaran bagi menghangatkan suasana, namun tiada sebarang kekecohan tercetus.
Kira-kira 80 hingga 90 peratus daripada 1.5 juta pengundi berdaftar Indonesia di Malaysia dijangka menunaikan tanggungjawab mereka mengundi awal semasa pilihan raya umum (Pemilu) dengan Kuala Lumpur mencatatkan pengundi terbanyak iaitu kira-kira 500,000. – UTUSAN ONLINE











