REMBAU 13 April – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantunya hingga berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, penghargaan itu diberikan kepada semua pemimpin dan ahli UMNO dan parti komponen BN lain serta Pas.
“Mereka telah berkampung di Rantau sejak dua minggu lalu bertungkus lumus membantu saya.
“Saya berharap keluarga besar BN dapat dikekalkan untuk kita menghadapi Pakatan Harapan pada masa depan,” katanya dalam ucapan kepada para penyokong di pusat arahan BN di Kampung Tanjung dekat Rantau di sini sebentar tadi.
Mohammad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat secara rasmi memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr. S. Streram yang mendapat 5,887 undi.
Calon Bebas, R. Malarvzhi meraih 83 undi manakala Mohd. Nor Yassin menerima 79 undi.
BN memperoleh majoriti 4,510 undi.
Tok Mat memberitahu, beliau juga gembira kerana menang di semua saluran pengundi muda. – UTUSAN ONLINE











