IPOH – Kerajaan negeri Perak menafikan telah meluluskan projek pembinaan pelantar kapal dan kilang gas asli cecair di Teluk Senangin, Segari dekat Lumut yang berdekatan dengan kawasan pantai pendaratan penyu.
Ini berikutan wujud kebimbangan daripada penduduk setempat terutama nelayan kerana sebarang pembangunan di kawasan tersebut boleh merosakkan ekologi hidupan marin.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sehingga kini belum ada mana-mana pihak yang mengemukakan cadangan bagi tujuan berkenaan kepada pihaknya.
Menurut beliau, apa-apa cadangan bagaimanapun perlu dikemukakan mengikut kaedah yang ditetapkan sebelum sebarang pertimbangan diputuskan oleh kerajaan negeri.
“Memang saya ada dengar pihak swasta hendak buat pembangunan tapi belum ada permintaan kepada kerajaan negeri.
“Jika sekali pun ada cadangan pembangunan di Segari, kita terlebih dahulu akan dapatkan pandangan daripada pihak-pihak lain terutama sekali jika ia melibatkan kepentingan kawasan santuari penyu di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Program STEM Waves@Perak 2019 di Movie Animation Park Studio di sini hari ini.
Hadir sama Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Profesor Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Pengerusi Yayasan Pendidikan Perak (YPP), Datin Normah Hanum Ibrahim.
Program STEM Waves@Perak 2019 anjuran UTP dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Kampar dan YPP bagi memperkasa subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam kalangan pelajar sekolah.
Sementara itu, mengulas lanjut berhubung dakwaan penduduk kampung bahawa ada pihak luar melakukan kerja-kerja ukur tanah di kawasan pantai Segari, kata Ahmad Faizal, perkara itu mungkin dibuat bagi tujuan tertentu.
“Mungkin ada pihak luar datang ke sana membuat tinjauan berhubung cadangan untuk pembangunan, cuma kerajaan negeri tidak terima apa-apa permohonan.
“Orang kampung juga boleh beri cadangan yang sesuai bagi kita sama-sama memelihara dan memajukan kawasan pantai Segari,” ujar beliau.
Pantai Segari adalah kawasan pesisiran pantai sepanjang kira-kira 20 kilometer (km) yang terletak di dalam daerah Manjung.
Ia menjadi tempat pendaratan utama spesies penyu Agar dan penyu Karah terutama di pantai Pasir Panjang dan Pasir Pandak sepanjang 7 kilometer.
Ia merupakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 yang telah dinyatakan di dalam Rancangan Fizikal Negara yang melarang sebarang aktiviti fizikal melainkan kegiatan eko-pelancongan terkawal dan penyelidikan. – K! ONLINE









