KEBAJIKAN. Seramai 40 orang peserta yang menunggang motosikal pelbagai kuasa dari Kelab Bermotosikal Surau Mukhlisin, Taman Pelangi Semenyih 2, Selangor menyertai Program Ride Amal ke Madrasah Alim Al-Imaniah Sungai Ular dan Cherating, Pahang baru-baru ini.
Urusetia program, Mohd. Tazri Hamidi berkata, aktiviti yang diadakan buat kali ketiga pada tahun ini tersebut mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai pihak bagi memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
“Kami berjaya mengagihkan dana sebanyak RM7,000 serta barangan keperluan harian antaranya beras, minyak, gula dan tepung kepada pengurus madrasah tersebut dengan kerjasama kakitangan Bank Rakyat cawangan Kuantan.
“Program ini bukan hanya memberikan manfaat kepada peserta tetapi juga golongan masyarakat yang memerlukan bantuan.
“Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.










