SELEPAS memulakan saingan Liga Super dengan perlahan, pasukan Selangor tidak lagi mahu menoleh ke belakang bahkan optimis untuk melakarkan kemenangan pada aksi menentang Perak di Stadium Shah Alam malam ini.
Pengurus skuad Gergasi Merah, Datuk Abd. Rauf Ahmad mengakui sangat gembira dengan prestasi semasa anak-anak buahnya yang sudah memahami dan yakin sepenuhnya terhadap strategi ketua jurulatih, B. Sathianathan.
“Saya tidak mahu mengatakan kami sebagai lambat tetapi boleh diakui momentum agak perlahan pada awal musim ini dan ia normal bagi pasukan yang dalam fasa transformasi dengan kehadiran jurulatih serta beberapa pemain baharu.
“Selepas kemenangan pertama, pemain mula yakin untuk merekodkan kemenangan berturut-turut dalam tiga perlawanan termasuk pada saingan Liga Super dan Piala FA. Apa yang saya lihat barisan pemain kini memiliki mentaliti untuk mencatat kemenangan.
“Ia berlaku pada aksi menentang Melaka United apabila kita berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan pada saat-saat akhir. Saya harap keputusan akan memihak kepada kami pada aksi menentang Perak esok (malam ini),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Rauf mengakui pasukannya masih mampu bersaing pada peringkat tertinggi meskipun Selangor dihimpit kecederaan beberapa pemain utama seperti Abdul Halim Saari, Syahmi Safari dan dua tonggak import, Endrick Dos Santos serta Rufino Segovia.
“Senarai pemain yang cedera seperti Halim, Syahmi, Endrick, Rufino serta Wan Zack Haikal (Wan Noor) masih kekal dan mereka akan diketepikan pada perlawanan tersebut. Namun, kami tidak anggap ia sebagai satu malapetaka kerana ia membuka peluang buat pemain-pemain muda.
“Lihat sahaja aksi yang meyakinkan oleh K. Sarkunan dan K. Prabakaran selain impak yang diberikan Faiz Nasir serta Amri Yahyah makin berkesan. Sean Eugene (Selvaraj) turut mula menunjukkan potensi yang ada selepas meledak dua gol minggu lalu,” katanya.











