Tulang rusuk belakang tidak pernah diperiksa - Utusan Malaysia

Tulang rusuk belakang tidak pernah diperiksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 10 April – Saksi ke-29 dalam prosi­ding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim hari ini memaklumkan terdapat kemungkinan tujuh tulang rusuk kiri bahagian belakang anggota bomba itu yang patah tidak pernah diperiksa ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya atau di Ins­titut Jantung Negara.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid berkata, patah tulang rusuk kiri bahagian belakang yang dialami Muhammad Adib itu tidak dilihat oleh sesiapa sama ada terdapat kesan lebam atau pun tidak.

“Tiada sesiapa pun yang lihat di belakang badan anggota bomba itu. Kemudian, apabila menerima rawa­tan seterusnya, saya rasa tidak ada sesiapa pun yang lihat di situ.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila terbalikkan anggota bomba pun mungkin tidak ada sesiapa yang lihat. Sekiranya ada pun, mungkin tidak dilaporkan kerana tidak tahu sama ada relevan atau tidak kecederaan itu,” katanya.

Dr. Shahrom, 62, yang pernah menjadi saksi dalam in­kues Penolong Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sela­ngor, Ahmad Sarbaini Mohamed yang terjatuh dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) pada 2011 berkata demikian di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah dalam prosiding inkues yang memasuki hari ke-24 hari ini.

Sementara itu, menjelaskan secara terperinci punca bagaimana Muhammad Adib mengalami patah tulang rusuk hadapan dan belakang, Dr. Shahrom berkata, kepatahan empat rusuk kanan bahagian hadapan berlaku akibat hentakan hujung sisi pintu penum­pang hadapan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang tumpul dan nipis.

Tujuh rusuk kiri belakang yang patah pula adalah disebabkan hentakan badan Muhammad Adib ke jenang (rangka) pintu van yang sama, jelasnya.

“Hanya dua tulang rusuk belakang kanan patah disebabkan ada otot yang melindungi tulang spatula. Oleh yang demikian, impak yang sama dengan hadapan tetapi ditahan otot dan tulang spatula. Daya hentakan sampai ke situ kurang berban­ding impak yang diterima rusuk hadapan dan sebab itu hanya dua sahaja patah,” ujarnya.

Inkues bersambung esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini