Felda disuntik RM6.23 bilion - Utusan Malaysia

Felda disuntik RM6.23 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 April – Warga Felda boleh menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju memberi bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion untuk menyelesaikan pelbagai masalah kewa­ngan dan kebajikan pene­roka serta urus tadbir Felda.

Antara kegunaan peruntukan itu adalah anggaran RM2 bilion untuk menghapuskan kadar faedah pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil yang dibebankan kepada peneroka.

Kerajaan juga meluluskan sebanyak RM250 juta bagi tahun 2019 untuk menyiapkan 4,794 unit rumah dalam projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang tahap kemajuannya 70 peratus dan ke atas yang terbengkalai sekian lama tanpa pembelaan daripada kerajaan lama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kerajaan juga telah meluluskan sejumlah RM480 juta untuk tujuan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil Bagi tahun 2019.

Felda juga mahu mela­hirkan peneroka yang mahir dan inovatif bagi meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pertanian dan ternakan yang menggunakan teknologi baharu seperti pertanian pintar untuk mengurangkan kebergantu­ngan kepada hasil sawit.

Menerusi usaha tersebut peneroka diramalkan mampu menjana pendapatan baharu yang bernilai tinggi melalui hasil tuaian dalam tempoh yang singkat.

Bagi melaksanakan rancangan tersebut kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk tempoh empat tahun.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Kertas Putih itu di Dewan Rakyat hari ini berkata, pihaknya mera­kamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah mengambil peduli tentang masalah peneroka Felda dan masa depan Felda.

“Kerajaan telah bersetuju untuk memberi bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bi­lion berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan bagi melaksanakan inisia­tif-inisiatif yang disebutkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini