PULAU PINANG 10 April – Jabatan Kesihatan negeri merampas sebanyak 16 tan produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang disyaki mengandungi racun berjadual bernilai RM2.9 juta dalam Ops Khing 2 semalam.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah berkata, kesemua bahan terlarang itu dirampas dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini termasuk di Bukit Mertajam.
“Kesemua barang tersebut dirampas di sebuah premis kedai ubat Cina dan tiga premis rumah kedai dua tingkat tidak berpapan tanda serta sebuah rumah kediaman.
“Antara yang dirampas adalah ubat-ubatan tradisional Cina, produk pil dan kapsul tanpa label,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Wan Mansor, siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi mengesan pihak lain yang terlibat dan menyimpan produk yang disyaki mengandungi racun ini.
“Serbuan ini dilakukan hasil maklumat yang disalurkan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Sarawak berikutan rampasan produk tidak berdaftar di negeri berkenaan.
“Operasi yang dilakukan ini turut melibatkan seramai 62 pegawai penguat kuasa farmasi dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan serta lima orang angota polis,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat dibawah Akta Jualan Dadah 1952 dan beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar agar menghubungi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Pulau Pinang di talian 04-2292319. – UTUSAN ONLINE











