GUA MUSANG 10 April – Polis melepaskan dua das tembakan dalam usaha memberhentikan sebuah kenderaan dipandu secara berbahaya oleh seorang lelaki yang cuba melarikan diri bersama 155 kilogram daun ketum di Ladang Sungai Terah, Jalan Gua Musang-Jeli di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, pemandu kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru itu pada mulanya cuba melarikan diri daripada anggota pasukan polis peronda (MPV) selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Gua Musang-Lojing, di sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, anggota peronda MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang cuba menahan tetapi suspek tidak berhenti apabila memecut laju kenderaan sehingga ke jalan Simpang Empat Kundur di sini untuk melalui Jalan Gua Musang-Jeli.
Katanya, anggota polis cuba mengejar kereta dipandu seorang lelaki Melayu berumur 39 tahun itu berhampiran ladang Sungai Terah, namun kenderaan tersebut didapati hilang di kawasan itu.
“Lelaki berkenaan dipercayai bersembunyi di Kampung Baru Star tidak jauh dari situ sebelum dikesan semula dua jam kemudian di Kampung Pulau Setelu untuk menghala ke Jeli,” katanya dalam sidang akhbar, di IPD Gua Musang, disini, hari ini.
Mohd. Taufik berkata, sepasukan lagi anggota MPV dari Balai Polis Bertam berkawal di Kampung Pulau Setelu terserempak dengan kereta dipandu lelaki terbabit.
Katanya, anggota peronda berkenaan mengejar kereta terbabit dan lelaki itu memecut laju dalam keadaan bahaya sehingga polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta suspek.
“Kejadian itu menyebabkan kereta berkenaan hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori jenis Isuzu dari laluan bertentangan.
“Pemeriksaan di dalam kereta yang disewa suspek menemukan muatan daun ketum dalam plastik hitam di dalam bonet dan tempat duduk penumpang belakang,” katanya.
Tambah Mohd. Taufik, suspek yang berasal dari Melor, Kota Bharu positif dadah jenis methamphetamine telah ditahan untuk membantu siasatan memiliki daun ketum yang dibawa dari negeri utara.
“Daun ketum berkenaan bernilai RM6,000 itu juga dipercayai untuk pasaran di sekitar Kota Bharu dengan jualan RM40 sekilogram.
“Kes itu disiasat dibawah Seksyen 30 (3) Akta Racun dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan secara bahaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE









