BN dituduh palsu, manipulasi akaun Tabung Haji - Mujahid - Utusan Malaysia

BN dituduh palsu, manipulasi akaun Tabung Haji – Mujahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 April – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menuduh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) pada zaman Barisan Nasional (BN) memalsukan akaun tabung itu dan memanipulasi akaun bagi menyembunyikan kerugian yang dialami.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, Tabung Haji dengan keuntungan yang palsu dan tidak wujud ini, kemudiannya memberi hibah dengan kadar 6.25 peratus pada Februari 2018 dengan melibatkan pembayaran sebanyak RM2.7 bilion.

Katanya, ini merupakan hasil daripada manipulasi dan pemalsuan akaun serta perkara ini dengan jelas bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995 apabila kerajaan BN membuat pengumuman hibah walaupun keuntungan tidak mencukupi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas kemenangan PH, Tabung Haji kini dikendalikan oleh golongan profesional dan bukan lagi terdiri daripada ahli politik seperti sebelum ini bagi memulihkan institusi berkenaan.

“Hasil daripada pengurusan baharu ini juga mendapati penyelewengan lain yang telah dilakukan pengurusan lama turut melibatkan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22.0 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik. Ia bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH,” katanya sewaktu sesi khas penerangan Tabung Haji di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Mujahid, masalah yang melanda Tabung Haji bukan perkara baharu sebaliknya sudah lama berakar-umbi sehinggakan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pernah menulis surat kepada bekas pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, bertarikh 23 Disember 2015 yang memberi amaran bahawa Tabung Haji mengalami masalah kekurangan aset.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan BN ketika itu tidak mempedulikan amaran tersebut dan terus membenarkan Tabung Haji membayar hibah yang tinggi walaupun keuntungannya tidak mencukupi dan bakal berdepan risiko kestabilan kewangan.

“Pihak pembangkang pada 2016 beberapa kali membangkitkan isu kerugian Tabung Haji, namun ia dinafikan oleh pihak pengurusan lama termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Timbalannya Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan Tabung Haji pada ketika itu adalah di dalam keadaan yang baik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini