BANGKOK – Polis Thailand menangkap dan mendakwa seorang pengutip sampah kerana disyaki merogol dan membunuh seorang pelancong Jerman yang datang bercuti, kata pihak berkuasa semalam.
Mayat wanita Jerman berumur 27 tahun berlumuran darah itu ditemui tertanam di bawah timbunan batu dan daun kering di pulau Koh Sichang, Teluk Siam pada Ahad lalu.
Wanita itu dipukul dengan teruk pada bahagian muka dan tengkorak, kata jurucakap polis, Krissana Pattanacharoen dalam satu kenyataan.
Suspek dikenali sebagai Ronnakorn Romruen dan berusia 23 tahun.
Polis berkata, suspek bertemu dengan pelancong Jerman yang memasuki Thailand pada 23 Mac lalu itu berdekatan lokasi kejadian dan merogol mangsa.
“Suspek bimbang wanita itu akan mengadu kepada polis, justeru, dia menggunakan sebiji batu untuk memukul muka dan dahi mangsa,” kata Krissana.
Suspek ditangkap beberapa jam kemudian ketika masih memakai baju dan seluar yang dicemari kesan darah, kata polis.
Pihak berkuasa mendakwanya kerana membunuh dengan niat, merogol, dan menyembunyikan mayat,” kata pegawai polis tempatan, Superintendan Atthakoon Salakoon.
“Suspek mengaku salah terhadap semua pertuduhan dan mengaku mengambil dadah sebelum melakukan jenayah ini,” kata Atthakoon kepada agensi berita AFP.
Thailand dijangka menerima kehadiran 40 juta pelancong pada tahun ini.
Walaupun negara Asia Tenggara itu dianggap selamat dalam kalangan pelawat, sebilangan insiden berprofil tinggi telah mencemarkan reputasinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP











