Tindakan pembangkang mengecewakan, rugi rakyat Sabah Sarawak - Utusan Malaysia

Tindakan pembangkang mengecewakan, rugi rakyat Sabah Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 April – Usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung gagal apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu tidak berjaya mendapat dua pertiga majoriti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, tindakan ahli Parlimen pembangkang itu cukup menyedihkan kerana pembentangan RUU itu merupakan peluang keemasan kepada masyarakat di dua negeri itu.

“Saya rasa ini keputusan tidak adil dan merugikan rakyat dalam perkara ini. Saya amat sedih kerana ini peluang keemasan untuk kita mengembalikan status Sabah dan Sarawak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malangnya, mereka ambil keputusan tak undi semata-mata untuk memuaskan agenda politik masing-masing,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, mereka tidak akan putus asa untuk terus menuntut hak rakyat di negeri tersebut walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Sudah semestinya kecewa tapi kita akan meneruskan seperti yang diinginkan dan sudah pasti akan ada liku-liku yang perlu kita hadapi untuk menuntut hak rakyat Sabah selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, tindakan 19 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi RUU itu disifatkan sebagai terlalu ego.

“Mereka ego untuk menerima apa-apa daripada pihak lain, meletakkan kepentingan politik lebih utama berbanding kepentingan orang Sarawak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini